Penolong pendaftaran nikah mengaku tidak bersalah terima suapan RM26,300

Iklan
Seorang penolong pendaftar nikah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar pada Rabu, atas tujuh pertuduhan menerima suapan berjumlah RM26,300. Gambar hiasan

KANGAR - Seorang penolong pendaftar nikah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas tujuh pertuduhan menerima suapan berjumlah RM26,300 yang didakwa bagi memproses pendaftaran perkahwinan luar negara di Perlis.

Pengakuan Mohd Isa Abdul Karim, 53, direkodkan di hadapan Hakim Datuk Nu'aman Mahmud Zuhudi.

Iklan
Iklan

Tertuduh didakwa menerima suapan itu antara 5 Disember 2022 hingga 24 Oktober 2023 di sebuah bank di Kuala Perlis yang didakwa untuk memproses pendaftaran perkahwinan luar negara di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) yang tidak mengikut prosedur di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2006.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Iklan

Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh, berserta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan, selain menetapkan sebutan semula kes pada 28 Februari ini.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Perlis S. Sujatha manakala tertuduh diwakili Peguam Ariff Azami Hussein dan Zuhair Ahmad Zakuan. - Bernama

Iklan