IPOH - Polis menahan seorang lelaki warga asing yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes bunuh pekerja binaan di tapak pembinaan berhampiran Taman Menglembu di sini, Jun tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek berusia 37 tahun itu ditahan ketika memperbaharui pasport di Jabatan Imigresen Negeri Kedah pada Selasa.
"Bertindak atas maklumat, polis berjaya membuat tangkapan ke atas suspek yang dikehendaki bagi membantu siasatan.
"Semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Menurut Abang Zainal Abidin, suspek direman selama enam hari sehingga Isnin depan untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh dengan niat.
Media melaporkan seorang lelaki warganegara Myanmar berusia antara 20 hingga 30 tahun ditemui maut di dalam sebuah rumah kongsi di tapak pembinaan di Menglembu pada 18 Jun 2024.
Mangsa ditemui dengan terdapat enam kesan tikaman serta trauma akibat objek tumpul di bahagian kiri muka serta calar pada bahagian badan mangsa.
Sebelum ini, sembilan individu terdiri daripada lapan lelaki dan seorang wanita berusia di antara 21 hingga 41 tahun masing-masing terdiri daripada warganegara Bangladesh dan Indonesia telah ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut.