SHAH ALAM - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melantik Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff sebagai Ahli Lembaga Pengarah bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 15 Januari 2025.
Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, pelantikan itu dibuat oleh Menteri Kewangan di mana Lembaga Pengarah SC bertanggungjawab untuk memantau keseluruhan tadbir urus SC dan mempunyai pengawasan terhadap mandat kawal selia serta pembangunannya.
"Pengalaman luas Nik Mohd Hasyudeen dalam industri, kawal selia dan antarabangsa akan bantu mengukuhkan Lembaga Pengarah SC dalam melaksanakan dua mandatnya.
"Dengan lebih 30 tahun pengalaman, Nik Mohd Hasyudeen memegang peranan kepimpinan dalam pelbagai organisasi. Beliau kini menganggotai Lembaga Pengarah Program Felo Perdana, Petron Malaysia Refining & Marketing Berhad dan Bank Islam Malaysia Berhad," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, Nik Mohd Hasyudeen ialah Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji (TH), Pengarah Eksekutif SC yang bertanggungjawab dalam Penyeliaan Pasaran dan Korporat serta Pengerusi Eksekutif Lembaga Pemantauan Audit.
Beliau merupakan Presiden Institut Akauntan Malaysia, Ahli Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia dan sebahagian daripada Lembaga serta Jawatankuasa Strategi Gabungan Akauntan Asia dan Pasifik.
Nik Mohd Hasyudeen turut berkhidmat sebagai Profesor Adjung di Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Universiti Malaya (UM).
Beliau memegang ijazah dalam perniagaan dari Universiti Teknologi Curtin, Perth, Australia Barat.