KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan kebangsaan, Robert Douglas Friend sudah bersedia untuk memacu Harimau Malaya ke tahap yang lebih baik sejajar dengan revolusi dibawa oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Friend atau lebih dikenali sebagai Rob Friend berkata, pasukan kebangsaan umpama gergasi yang sedang tidur dan beliau teruja untuk membangunkan sukan bola sepak di negara ini.
"Ini merupakan satu peluang yang baik buat diri saya. Saya sangat teruja untuk menyertai revolusi skuad Harimau Malaya. Malaysia umpama sang gergasi yang sedang tidur.
"Saya sudah bersedia untuk bekerjasama dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), pemegang taruh terlibat seterusnya bersama-sama membangunkan sukan bola sepak di negara ini,” katanya.
Beliau juga cukup berbesar hati apabila menjadi sebahagian daripada revolusi Harimau Malaya dalam struktur organisasi baharu pasukan kebangsaan.
Tugas Friend memastikan struktur organisasi baharu itu dilengkapi dengan tenaga kerja berkualiti dan berpengalaman dari segenap aspek bagi memastikan proses membentuk pasukan kebangsaan yang ampuh berjalan lancar.
Sebelum ini, FAM turut melantik pengendali baharu Harimau Malaya iaitu Peter Cklamovski dari Australia dan bekas pengendali Kedah, Nafuzi Zain untuk mengemudi skuad bawah 23 tahun negara sebagai sebahagian proses revolusi itu.
Selain itu pakar dari Australian, Dr Craig Duncan turut dilantik sebagai Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan.