Jual beli saham MAHB merugikan 16.1 juta pencarum - Ka Siong

Iklan
Wee Ka Siong Wee Ka Siong
Wee Ka Siong

SHAH ALAM - Penjualan saham Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada 2023 dianggap sebagai kerugian kepada 16.1 juta pencarum.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mendakwa, tindakan pembuat keputusan yang tidak cekap dan tidak berpandangan jauh itu telah menjejaskan kepentingan pencarum KWSP.

Iklan
Iklan

"KWSP sudah mempunyai pelan strategik untuk menswastakan MAHB dan hanya perlu membeli 14.3 peratus saham sebagai tambahan kepada 15.7 peratus saham sedia ada bagi mencapai pegangan 30 peratus.

"Sebaliknya, dengan penjualan hampir 10 peratus kepentingan tersebut, KWSP terpaksa membeli balik kira-kira 25 peratus lagi saham MAHB beberapa bulan kemudian,” katanya menerusi hantaran video yang dimuat naik di Facebook pada Rabu.

Iklan

Sebelum ini, bekas Menteri Pengangkutan itu turut menggesa kerajaan untuk menyiasat penjualan saham MAHB yang dilakukan oleh KWSP sepanjang tahun 2023 kerana membabitkan dana rakyat sebagai pencarum KWSP.

Pada 6 Januari 2023, KWSP dilaporkan menjual saham MAHB sekitar RM6.74 seunit iaitu pada harga paling rendah sepanjang tahun itu sehingga julatnya mencecah RM7.70 sesaham pada 1 September 2023.

Iklan

Beberapa bulan kemudian melalui tawaran awam (GO), KWSP membeli semula saham berkenaan pada harga RM11 sesaham dengan menambah RM539 juta hingga RM696 juta.

Tambah Ka Siong, jika benar KWSP menjual tanpa pengetahuan tentang perancangan strategik melibatkan penswastaan, ia menunjukkan kelemahan dalam pengurusan maklumat.

"Jika ia disengajakan mungkin ada unsur ketidaktelusan yang menjadi keutamaan pihak tertentu.

"Ini bukan perkara main-main. Ini melibatkan kepentingan 16.1 juta pencarum KWSP,” ujarnya.