PUTRAJAYA - Bekas penyampai berita, Kamaruddin Mape antara tujuh dilantik sebagai Ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR).
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui kenyataan pada Rabu memaklumkan, pelantikan bagi tempoh dua tahun itu berkuat kuasa 1 Disember lalu sehingga 30 November 2026.
"Enam ahli PPPR lain adalah Datin Yasmin Ahmad Merican selaku Pengerusi; Naib Canselor Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Prof Emerita Datuk Dr Asma Ismail dan Penasihat Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Dr Haidar Dziyauddin.
"Turut dilantik Datuk Lee Heng Cheong, Prof Dr Sarjit Singh Darshan Singh dan pemilik rangkaian Syarikat aL-ikhsaN, Ali Hassan Mohd Hassan," katanya.
Menurut kenyataan itu, tujuh individu berkenaan dilantik secara pentadbiran oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan tiga daripada mereka adalah lantikan semula, manakala empat lagi membabitkan lantikan baharu.
"Semua individu yang dilantik itu terdiri daripada golongan profesional dan pakar dalam pelbagai bidang, sekali gus menunjukkan penghormatan serta pengiktirafan terhadap kebolehan, kepakaran, dan integriti yang mereka miliki," katanya.
"Kepakaran mereka diyakini dapat memberi nilai tambah kepada SPRM dalam usaha membanteras rasuah serta memastikan keberkesanan operasi dan pencegahan salah guna kuasa di negara ini," katanya.