Remaja perempuan mengaku salah ugut, khianat simbah cat merah

Iklan
Remaja perempuan (kanan) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Rabu. Remaja perempuan (kanan) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Rabu.
Remaja perempuan (kanan) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Rabu.

JOHOR BAHRU - Seorang remaja perempuan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini pada Rabu atas dua pertuduhan iaitu melakukan jenayah bagi menimbulkan kegentaran dan khianat dengan menyimbah cat merah di Skudai, bulan lalu.

Tertuduh berusia 17 tahun itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan pertama, remaja perempuan itu telah menakutkan secara jenayah terhadap seorang wanita berusia 37 tahun dengan niat hendak menyebabkan kegentaran kepadanya dan dalam melakukan ugutan jenayah itu tertuduh telah menyembunyikan identitinya.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh telah melakukan khianat dengan menyimbah cat berwarna merah pada pintu pagar rumah dan pada sebuah kereta jenis Perodua Axia milik mangsa yang sama.

Iklan

Tertuduh melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Pertanian 28, Taman Universiti, Skudai, di sini kira-kira pukul 5.30 pagi pada 29 Disember lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan serta dihukum di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Iklan

Bagaimanapun, jika sabit kesalahan, tertuduh boleh diperintahkan untuk dilepaskan dengan amaran, bon berkelakuan baik dengan apa-apa syarat yang dikenakan oleh mahkamah, membayar denda, perintah khidmat masyarakat, dihantar ke sekolah diluluskan atau dihantar ke Sekolah Henry Gurney.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Sapian dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan tarikh 11 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk jatuh hukum.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret yang berasingan, pembantu dapur lelaki mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan perbuatan khianat menggunakan cat, bulan lalu.

Tertuduh, You Κai Χian, 23, pada awalnya mengaku bersalah sebelum menukar fikiran selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.

Mengikut kertas pertuduhan, Kai Xian didakwa melakukan perbuatan khianat dengan bertindak menyimbah cat ke atas sebuah kereta jenis Mercedes Benz milik seorang lelaki.

Perbuatan itu dilakukan di Jalan Pesona 10, Taman Pelangi Indah, di sini pada jam 2.10 pagi, pada 30 Disember tahun lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang tidak lebih daripada lima tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyah Latif dan tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Nabila Hamzah.

Pihak pendakwaan mencadangkan kepada mahkamah jaminan berjumlah RM10,000 dengan seorang penjamin.

Siti Nabila memohon jaminan yang rendah dikenakan kepada anak guamnya yang bekerja sebagai pembantu dapur dengan pendapatan RM2,000 sebulan selain perlu menanggung ibunya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula.