SHAH ALAM - Setelah berlarutan selama beberapa hari, pengarah syarikat pengendali umrah yang terpalit dengan kontroversi kerana dikatakan gagal menerbangkan jemaah ke Tanah Suci bersetuju untuk berbincang.
Berdasarkan jemputan yang diterima oleh Sinar Harian, pertemuan dengan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) itu akan berlangsung di pejabat pertubuhan itu di Megan Avenue 1, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada jam 5 petang ini.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pertemuan itu membabitkan wakil syarikat dan jemaah yang terlibat manakala MHO akan bertindak sebagai mediator.
"MHO akan bertindak sebagai mediator dan perjumpaan ini juga akan melibatkan jemaah yang terlibat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Sebelum ini, media melaporkan jemaah umrah terkandas apabila mereka dijanjikan untuk diterbangkan ke Tanah Suci Makkah, namun ditunda syarikat pengendali umrah.
Setakat rabu, seramai 20 daripada 379 jemaah menerima semula wang selepas pihak syarikat pengendali umrah gagal menerbangkan jemaah ke Tanah Suci.
Dua jemaah telah menerima pembayaran itu pada Rabu, selain 18 mangsa lain pada Selasa.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Khairul Firdaus Akhbar Khan memberitahu bahawa syarikata tersebut berdepan dengan tindakan penggantungan operasi selama tujuh hari, berkuat kuasa pada Rabu sekiranya gagal membuat pemulangan wang sehingga malam Selasa.