AMPANG - Sebanyak 417 kotak keratan ayam sejuk beku seberat 5,004 kilogram yang dilucuthakkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) telah diserahkan kepada Zoo Negara, di sini, pada Selasa.
Ketua Pengarah Maqis, Shamsul Akbar Sulaiman memaklumkan penyerahan keratan ayam sejuk beku yang bernilai RM42,023 dijadikan sebagai makanan haiwan di Zoo Negara.
Iklan
Iklan
"Bahan mentah tersebut merupakan hasil sitaan pengimportan hasilan haiwan yang telah dilucuthakkan kerana tidak mematuhi aspek perundangan Seksyen 11(1) dan Seksyen 13 di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].
"Kami berharap penyerahan ini dapat menampung kos bekalan bahan mentah untuk dijadikan makanan kepada haiwan-haiwan yang terdapat di zoo,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Maqis telah membuat serahan sebanyak 91,737.70 kilogram dengan nilai RM835,713.76 kepada pelbagai agensi serta pihak yang memerlukannya pada tahun lalu.
Shamsul Akbar berkata, tindakan itu merupakan salah satu daripada kaedah pelupusan hasilan haiwan yang disita dan telah dilucuthakkan.
"Maqis tidak akan berkompromi terhadap ketidakpatuhan terutamanya melibatkan isu biosekuriti," katanya.