KLANG - Hampir 500 ikan mati dipercayai telah diracun oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan kerugian mencecah RM100,000 dalam kejadian di Kolam Memancing Sealion 3A, Pelabuhan Klang, di sini.
Timbalan Pengerusi Pertubuhan Sukan Memancing Malaysia (MSO), Datuk Mohd Rizwan Abdul Rahim berkata, insiden berkenaan merupakan kali ke-21 yang menimpa sejak pihaknya mengambil alih kolam berkenaan pada September 2021.
"Kejadian berlaku pada 12 Januari lalu yang mana mula-mula disedari kakitangan sekitar jam 8 pagi selepas melihat beberapa ikan mati dan timbul di permukaan kolam, jadi saya minta segera buat pembersihan tapi keadaan semakin teruk.
"Kami segera menjalankan kerja rawatan kolam sehingga jam 1 pagi. Saya mendapati ikan-ikan berkenaan dipercayai dituba dan kemudian pada Selasa, saya mengarahkan kolam ditutup serta dihentikan operasi sementara sehingga kerja pembersihan selesai.
"Kami dah buang hampir 500 ikan mati dan sehingga hari ini pun masih ada ikan yang mati, malah, anggaran lagi 1,500 ikan pula masih dalam keadaan lemah tetapi masih hidup," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Tambah Mohd Rizwan, sampel air kolam tersebut telah dihantar ke makmal untuk dianalisis dan hasil keputusan menunjukkan bahawa ia sah mengandungi racun.
Bagaimanapun, menurutnya, beliau enggan menuduh mana-mana pihak susulan kejadian tersebut dan menganggap ia satu ujian buat dirinya.
"Sampel air pun sudah dihantar dan sah memang ada racun. Cuma saya tidak mahu menuduh mana-mana pihak walaupun berjiran dengan kolam-kolam yang lain.
"Apa yang saya boleh buat cuma tabah dan berserah sahaja kepada ALLAH SWT untuk ujian ini," ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd Rizwan berkata, pasukan MSO sedang giat melaksanakan kerja-kerja pembersihan secara menyeluruh.
Tambahnya, kolam memancing berkenaan dijangka dapat beroperasi semula pada Jumaat ini selepas selesai operasi rawatan dan pembersihan kolam.
"Sehingga hari ini, pasukan MSO masih lagi menjalankan rawatan khas dengan membuang air kolam sedia ada bagi pembersihan menyeluruh dan menyelesaikan masalah ini.
"Tadi pun kami baru saja buat kutipan untuk ikan-ikan yang masih lagi hidup tapi dalam keadaan teruk lebih kurang 74 ekor dan telah dikeluarkan dari kolam.
"Kami juga ada masukkan beberapa ekor ikan untuk diuji dan berharap keputusannya menunjukkan positif dan mungkin jika tiada masalah lain, kami akan beroperasi semula pada Jumaat," katanya lagi.