MERBOK -"Semuanya hangus terbakar, yang tinggal hanya cebisan keratan dan ayat-ayat al-Quran.
Demikian luahan Mudir Maahad Tahfiz An-Nur Lil Banat (perempuan), Shahrilbani Mansor berhubung kejadian kebakaran yang memusnahkan keseluruhan asrama dan tempat belajar di pekan Merbok di sini, 6 Januari lalu.
Menurutnya, kesemua harta dan barang milik penghuni tidak dapat diselamatkan menyebabkan 38 pelajar tinggal sehelai sepinggang.
"Namun, syukur semua mereka sempat menyelamatkan diri dan kini diarah pulang sementara waktu," jelasnya.
Menceritakan kejadian berlaku kira-kira jam 4 pagi itu, pelajar baharu sahaja bangun tidur dan mahu membuat persediaan untuk solat sunat tahajud.
"Ada yang dengar bunyi api menyebabkan mereka lari keluar... apa yang ALLAH nak tunjuk dekat kita ialah semua hangus terbakar tetapi cebisan dan helaian al-Quran yang tinggal, ada antaranya masih elok dan terpelihara kalimahnya.
"Alhamdulillah menunjukkan kekuasaanNya dan ia beri kesedaran serta peringatan bahawa suatu hari nanti, ayat-ayat al-Quran akan hilang, mungkin hari ini kita masih diberi kesempatan untuk beramal dan bersahabat, itulah kawan kita yang sebenar dari atas dunia, alam kubur sehingga ke Masyar," jelasnya.
Menurut Shahrilbani, helaian al-Quran yang tertanggal atau hangus, dikumpul dan dilupuskan mengikut prosedur ditetapkan sementara yang masih elok akan dipelihara dengan baik.
Katanya, meskipun didatangi ujian hebat apabila kesemua pelajar hilang tempat berteduh sekelip mata, namun bukti kekuasaan ALLAH telah membuka mata agar lebih tawaduk.
Jelas beliau, dalam perancangan, operasi maahad tahfiz akan berpindah ke tapak baharu dan pembinaannya masih belum siap.
"Kami cadang nak siapkan dulu bangunan di tanah wakaf, terletak di Kampung Belau tidak jauh dari sini, namun kos pembinaan masih kurang," katanya.
Orang ramai yang ingin membantu, boleh berbuat demikian melalui akaun CIMB Bank bernombor 8603-580-938 atas nama Maahad Tahfiz An-Nur.