Juruanalisis dipantau ketika analisis telefon pintar milik Ebit Lew, pengadu

Iklan
Ebit Lew (depan) ketika hadir di Mahkamah Majistret Tenom pada Rabu. Ebit Lew (depan) ketika hadir di Mahkamah Majistret Tenom pada Rabu.
Ebit Lew (depan) ketika hadir di Mahkamah Majistret Tenom pada Rabu.

TENOM - Saksi pendakwaan kes Ebit Lew memberitahu mahkamah bahawa beliau dipantau sepenuhnya oleh Ketua Jabatan Forensik Digital ketika melakukan analisis terhadap telefon pintar milik Ebit Lew dan pengadu kerana kes itu mendapat liputan meluas.

Bekas jurunalisis di Jabatan Forensik Digital CyberSecurity Malaysia, Muhammad Umar Shahbuddin merupakan saksi ke-14 yang memberi keterangan di Mahkamah Majistret Tenom bagi kes tersebut.

Iklan
Iklan

Menerusi keterangannya memaklumkan, pemantauan secara sepenuhnya oleh Ketua Jabatan Forensik Digital adalah bagi memastikan segala proses dan metodologi dilaksanakan mengikut piawaian yang telah ditetapkan.

Bekas juruanalisis, Muhammad Umar ketika hadir memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan kes Ebit Lew di Mahkamah Majistret Tenom pada Rabu. Bekas juruanalisis, Muhammad Umar ketika hadir memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan kes Ebit Lew di Mahkamah Majistret Tenom pada Rabu.
Bekas juruanalisis, Muhammad Umar ketika hadir memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan kes Ebit Lew di Mahkamah Majistret Tenom pada Rabu.

Pemeriksaan utama yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Adzmi bertanya sama ada Mumammad Umar dipantau setiap kali menjalankan analisis selain daripada kes berkenaan dan sejak bila pemantauan dibuat.

Iklan

"Kes ini dipantau kerana mendapat liputan meluas. Pemantauan ini bermula dari analisis dijalankan," katanya ketika prosiding berlangsung pada hari pertama sambungan semula kes tersebut, pada Rabu.

Dalam pemeriksaan seterusnya, Muhammad Umar diminta menjelaskan kenyataannya siapa yang boleh mengakses barang eksibit yang disimpan di bilik simpan barang kes atau 'Exhibit Preservation Room' (EPR).

Iklan

"EPR hanya boleh diakses oleh ketua jabatan dan juga pengurus operasi digital iaitu ketika itu Encik Zabri dan Encik Tajul Josalmin (saksi ke-13, Tajul Josalmin Tajul Ariffin)," katanya.

Katanya lagi, analisis terhadap barang kes dilakukan kira-kira satu minggu dan barang kes diterima dalam keadaan baik.

"Saya menerima barang kes dalam keadaan baik yang bermaksud tiada sebarang kerosakan fizikal dan boleh berfungsi dengan baik," katanya.

Namun katanya, jika berlaku gangguan terhadap barang kes, beliau boleh mengesannya berdasarkan kaedah keadaan fizikal dan mod pesawat juga telah diaktifkan yang bermaksud tiada sebarang akses melalui internet daripada luar.

Sebelum itu, Muhammad Umar telah membacakan keterangan bertulisnya bahawa pada tarikh 27 Oktober 2021 dia telah menerima sebanyak lima eksibit yang telah direkodkan oleh pengurus operasinya, Tajul Josalmin.

Dalam keterangannya itu, beliau memaklumkan antara barang eksibit yang dianalisis adalah telefon pintar jenama Samsung Galaxy Note 20 Ultra, telefon pintar jenama Samsung Galaxy A31, kad sim dan kad memori.

Dalam prosiding sebelum ini, telefon bimbit Samsung Galaxy Note 20 Ultra merupakan milik Ebit Lew manakala telefon pintar jenama Samsung Galaxy A31 adalah milik pengadu dalam kes tersebut.

Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 39, berhadapan dengan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad dan Rasyidah Murni, manakala Ebit Lew diwakili oleh Datuk Ram Singh, Nizam Salleh Keruak, Kamarudin Mohmad Chinki dan Timothy Daut dan Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.