SEPANG - Hasrat membawa ibu yang menghidap kanser usus tahap empat menunaikan umrah tidak kesampaian apabila gagal diterbangkan ke Makkah oleh syarikat pengendali umrah pada Isnin.
Salah seorang jemaah, Wan Muhammad Fauzi Mohamed, 38, berkata, ia merupakan pengalaman kali pertama ibunya yang berusia 70 tahun untuk mengerjakan ibadah tersebut.
"Ibu saya memang tidak terkata apa-apa tetapi boleh nampak dia amat sedih sebab dia menghidap penyakit kanser usus tahap empat.
"Kami pakai perkhidmatan pelancongan syarikat ini kerana sebelumnya dua tahun berturut-turut kita pergi sendiri," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Sebelum ini, media melaporkan jemaah umrah terkandas apabila mereka dijanjikan untuk diterbangkan ke Tanah Suci Makkah, namun ditunda syarikat pengendali umrah.
Setakat Rabu, seramai 20 daripada 379 jemaah menerima semula wang selepas pihak syarikat pengendali umrah gagal menerbangkan jemaah ke Tanah Suci.
Ujar Wan Muhammad Fauzi yang berasal dari Brunei itu, pakej yang memakan kos berjumlah RM62,440 merangkumi lapan jemaah termasuk isteri, ibu mentua dan rakan-rakan ibunya.
Menurut Wan Muhammad Fauzi yang merupakan pekerja swasta, mereka masih belum pulang ke Brunei dan masih menunggu di syarikat berkenaan sejak tiga hari lalu untuk menuntut semula wang mereka.
"Saya cuma harap jika sudah terima wang berkenaan, saya dan isteri akan teruskan mengerjakan umrah dengan cara lain.
"Kami telah rancang sudah satu tahun dan telah kumpul duit untuk tujuan tersebut," ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi jemaah, Umi Munawaraz Zahizan, 34, akui kecewa terhadap tindakan syarikat pengendali umrah tersebut dalam menangani isu ini khusus melibatkan pemberian semula wang kepada jemaah.
Ujar Umi Munawaraz yang berasal dari Kuantan, Pahang, tujuan pergi ke Tanah Suci itu adalah bagi mengubati rindu terhadap arwah suaminya yang meninggal dunia enam bulan lalu.
"Saya tahu mengenai syarikat berkenaan menerusi promosi daripada pempengaruh di media sosial dan respon balas di ruangan komen pun agak baik daripada jemaah yang pernah melanggan pakej tersebut.
"Tapi saya mula rasa tidak sedap hati bermula bulan Disember lalu di mana ada jemaah tularkan mengenai keadaan sewaktu pengurusan syarikat tersebut.
"Saya masih lagi bersangka baik ketika itu sehingga tahu bahawa kita tidak dapat visa," menurutnya.