KEJAYAAN berganda sempena Kejohanan Piala Dunia 2025 di Hong Kong minggu lalu belum memberi kepuasan buat pemain boling negara, Natasha Mohamed Roslan.
Malah lakaran sejarah menamatkan kemarau 53 tahun tanpa kejuaraan kategori wanita pada kejohanan itu sejak dipertandingkan pada 1972 membakar semangatnya untuk terus mengharumkan nama negara di peta dunia.
Atlet berusia 29 tahun itu memasang impian untuk membina legasi menerusi acuannya sendiri dengan memenangi lebih banyak gelaran pada masa depan.
"Saya nak tinggalkan legasi dan menang sebanyak mana yang boleh ketika tubuh masih sihat.
"Apa pun, saya akan terus berlatih dan tingkatkan lagi kemahiran untuk kejohanan akan datang,” katanya.
Atlet kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu pada Jumaat mengungguli kategori wanita Kejohanan Piala Dunia 2025 di Kowloon.
Kejuaraan pada kejohanan dunia itu juga menyaksikan Natasha menerima pengiktirafan daripada Buku Rekod Malaysia (MBOR) sebagai atlet wanita pertama memenangi Piala Dunia IBF.
"Saya masih tidak percaya (gelaran juara) kerana amat sukar untuk memenangi kejohanan yang besar ini,” ujar Natasha.
Kejuaraan berkenaan juga menjadi koleksi dunia ketiga buat Natasha selepas mengungguli Kejohanan Tenpin Boling Dunia 2023 di Salmiya, Kuwait.
Gelaran pertama diraih pada kejohanan sama dalam acara berpasukan wanita bersama Li Jane, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Datuk Shalin Zulkifli pada edisi 2017 di Las Vegas, Amerika Syarikat.
Natasha juga mahu mendedikasikan kejayaan tersebut buat dua insan tersayang yang menjadi tulang di sebalik kejayaannya selama ini.
Ibu serta bapanya, Anita Mohamed Ali dan Mohamed Roslan Ismail merupakan watak penting dalam kariernya sehingga berjaya melakar nama di pentas global.
Kejayaan tersebut bagaimanapun dirai dengan rasa hiba kerana ibunya dikesan menghidap kanser buah pinggang hampir tiga tahun lalu.
Namun kata Natasha, ibunya dengan sokongan bapa serta ahli keluarga lain tabah mengharungi ujian tersebut.
"Kejayaan ini saya dedikasikan buat ayah dan ibu. Malah ibu pada 2022 dikesan menghidap kanser, namun dia kuat untuk menghadapinya," katanya.
Natasha selepas ini akan menggalas cabaran negara dalam saingan Terbuka Malaysia pada April depan.