AMPANG - Dendam lama menjadi punca seorang lelaki cedera parah dipukul di Jalan Pandan Indah, di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian pada jam 9.10 malam itu, seorang lelaki yang berada di rumah telah menerima panggilan telefon daripada pihak Hospital Ampang.
"Pihak Hospital Ampang memaklumkan anak angkat pengadu berusia 42 tahun itu telah masuk ke zon merah hospital berkenaan.
"Setibanya pengadu di hospital, seorang individu mendakwa mangsa telah dipukul oleh seorang lelaki," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Mohd Azam berkata, mangsa yang mengalami pendarahan di otak kemudian telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.
"Mangsa kini dalam keadaan stabil setelah menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur," katanya.
Beliau berkata, sepasukan pegawai dan anggota polis telah memberkas seorang lelaki berusia 30-an di tepi jalan di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya untuk siasatan lanjut.
"Motif kejadian adalah kerana dendam lama disebabkan pengadu pernah mencederakan suspek pada pertengahan tahun lalu.
"Suspek telah direman selama lima hari bermula Selasa sehingga Sabtu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.