AMPANG - Perselisihan faham dipercayai menjadi punca seorang guru tadika cedera dipukul suaminya di sebuah pangsapuri di Jalan Ampang Mewah, di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian pada jam 10.30 malam, suspek berusia 45 tahun yang berada dalam keadaan mabuk telah menuduh isterinya mempunyai hubungan dengan lelaki lain.
Iklan
Iklan
"Suspek kemudian bertindak memukul wanita berusia 38 tahun itu di belakang badan dan menendangnya.
"Ketika kejadian, suspek juga mengacukan pisau ke arah mangsa dan perkara ini telah disaksikan oleh anak pasangan itu," katanya dalam kenyataan, pada Rabu.
Mohd Azam berkata, hasil pemeriksaan pegawai perubatan mendapati mangsa mengalami kecederaan 'soft tissue injury' di bahagian leher.
"Kita telah menahan suspek yang bekerja sebagai mekanik pada jam 10.30 malam, semalam (Selasa). Saringan ujian air kencing mendapati lelaki itu adalah negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah dan tidak mempunyai rekod lampau.
"Suspek telah direman selama tiga hari bermula Rabu hingga Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan," katanya.