Mahkamah Tinggi Taiwan kekalkan hukuman mati pembunuh pelajar Malaysia

Iklan
Keputusan itu dibuat berdasarkan tindakan kejam tertuduh, Liang Yu-chih yang membunuh dengan niat serta berisiko tinggi untuk mengulangi jenayah. Foto CNA Keputusan itu dibuat berdasarkan tindakan kejam tertuduh, Liang Yu-chih yang membunuh dengan niat serta berisiko tinggi untuk mengulangi jenayah. Foto CNA
Keputusan itu dibuat berdasarkan tindakan kejam tertuduh, Liang Yu-chih yang membunuh dengan niat serta berisiko tinggi untuk mengulangi jenayah. Foto CNA

KAOHSIUNG - Mahkamah Tinggi Taiwan Cawangan Kaohsiung pada Rabu mengekalkan hukuman mati ke atas seorang lelaki yang didapati bersalah merogol dan membunuh seorang pelajar Malaysia, lapor Agensi Berita Pusat (CNA).

Keputusan itu dibuat berdasarkan tindakan kejam tertuduh, Liang Yu-chih yang membunuh dengan niat serta berisiko tinggi untuk mengulangi jenayah, menurut kenyataan mahkamah.

Iklan
Iklan

Keputusan berkenaan bagaimanapun masih boleh dirayu.

Pada 28 Oktober 2020, Yu-chih menculik mangsa, seorang pelajar kolej yang sedang melanjutkan pengajian di Taiwan, ketika mangsa berjalan sendirian berhampiran kolejnya di Tainan.

Iklan

Yu-chih kemudian merogol, memukul dan mencekik mangsa hingga mati, sebelum mengambil dompet serta barang peribadi mangsa dan membuang mayatnya di kawasan pergunungan di Daerah Alian, Kaohsiung.

Menurut mahkamah, tindakan Yu-chih itu dirancang rapi, termasuk menyembunyikan diri dengan membawa tali kasar yang digunakan untuk mencekik mangsa berusia 24 tahun itu.

Iklan

Mahkamah turut menyatakan Yu-chih bertindak dengan amat kejam, menyebabkan kecederaan teruk sehingga mengakibatkan pendarahan pada pelbagai organ serta bahagian tubuh mangsa.

Mahkamah juga mendapati Yu-chih bersalah dalam percubaan merogol seorang wanita lain pada 30 September 2020.

Pada Mac 2022, Mahkamah Daerah Ciaotou Taiwan menjatuhkan hukuman mati terhadap Yu-chih atas dua pertuduhan merogol dan membunuh dengan niat serta merompak dan membunuh.

Yu-chih turut dijatuhi hukuman dua tahun penjara kerana membuang mayat dan 34 bulan atas percubaan merogol.

Mahkamah Tinggi Cawangan Kaohsiung pada Mac 2023 mengekalkan hukuman mati berkenaan.

Ketua Hakim Pentadbiran Mahkamah Tinggi Kaohsiung, Lee Shu-hui memaklumkan bahawa tiga hakim sebulat suara memutuskan untuk mengekalkan hukuman itu.

Kes ini merupakan keputusan hukuman mati pertama sejak Mahkamah Perlembagaan pada September 2024 memutuskan bahawa hukuman mati hanya boleh dikenakan bagi kes jenayah paling serius dan pembunuhan terancang yang membawa kepada kematian. - Bernama