Belum ada bukti sokong teori juruterbang MH370 bunuh diri: KPN

Iklan
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menyatakan belum ada bukti yang dapat menyokong teori bahawa kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 berpunca daripada tindakan juruterbangnya membunuh diri.

Abdul Hamid Bador ketika mengulas dakwaan bekas Perdana Menteri Australia, Tony Abbott berkata, perkara itu berdasarkan siasatan dilakukan pihaknya dengan mengambil kira pelbagai aspek susulan kehilangan misteri pesawat berkenaan.

Iklan
Iklan

"Selagi rangka kapal terbang itu tidak ditemui, punca sebenar kehilangan pesawat tidak boleh dimuktamadkan,” katanya ketika sidang media Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Penggantian Lif di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menyiasat semua aspek termasuk dari segi keganasan, rampasan oleh pihak tertentu dan pelbagai teori lain menggunakan teknologi canggih sehingga banyak fakta sudah terkumpul.

Iklan

Sehubungan itu, Abdul Hamid berkata, beliau tidak tahu siapa pegawai tertinggi Malaysia yang dimaksudkan Abbott berhubung pendedahannya mengenai perkara itu menerusi program dokumentari Sky News.

"Abbott berhak menyatakan pendirian berdasarkan maklumat yang diterimanya kepada media.

Iklan

"Saya tidak boleh memberi apa-apa komen selagi (pesawat) tidak ditemui berdasarkan undang-undang. Malah, kita bersedia membuka semula kertas siasatan jika rangka pesawat itu ditemui,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Abbott yang menjawat jawatan Perdana Menteri pada 2014 ketika tragedi itu dipetik berkata, pegawai ‘berpangkat tertinggi’ Malaysia memaklumkan kepadanya kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 disebabkan tindakan bunuh diri oleh juruterbang pesawat berkenaan.

Bagaimanapun, Abbot tidak mendedahkan nama individu yang memberi maklumat berkenaan.

Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 kru hilang dari imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Pada 10 Februari lalu, kerajaan Malaysia menegaskan, tiada misi terbaharu untuk mencari pesawat berkenaan.

Sebelum ini, syarikat penerokaan dasar laut Amerika Syarikat, Ocean Infinity, pada Mei tahun lalu mengesahkan misi pencarian MH370 sudah berakhir.