SHAH ALAM - Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) menyokong kenyataan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya lebih ramai tenaga kerja tempatan bekerja dalam sektor pengawal keselamatan tempatan.
Presidennya, Datuk Seri Ramli Yusuff berkata, sejajar dengan hasrat berkenaan PIKM sendiri menggerakkan pelbagai inisiatif seperti membiayai RM60 juta melalui siri latihan Certified Secutiry Guards (CSG) dan turut menyediakan pakej rangsangan lain seperti uniform baharu, asrama dan penghantaran ke lokasi kerja.
Ramli berkata, semuanya adalah usaha berterusan PIKM dan ahli dalam memastikan industri tersebut mampu menarik minat pekerja tempatan dan kekal relevan.
"Namun tanpa sedar, ketika Perintah Gaji Minimum (PGM) 2020 pada kadar RM1,200 diwartakan, ia memberi pelbagai impak negatif kepada majikan kerana terpaksa membelanjakan hampir RM3,000 sebulan dengan kadar RM8.64 sen setiap jam tanpa sebarang peratusan keuntungan kepada majikan.
"Sedangkan kadar harga yang ditawarkan pihak kerajaan mahupun swasta adalah jauh lebih rendah. Maka akan berlakulah masalah pembayaran gaji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dilepas pandang dan paling malang, berkemungkinan akan ada pihak yang sanggup mengupah pengawal keselamatan haram,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ramli berkata, bagi memastikan masalah ini tidak terus berlaku, PIKM mencadangkan agar industri tersebut dikeluarkan daripada Akta Persaingan 2010.
"Cadangan ini bagi membolehkan PIKM memberi arahan rasmi kepada ahli berkaitan harga berpatutan yang akan dibincang dan dipersetujui dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
"PIKM juga mahu pihak kerajaan dan swasta menyelaras kesemua harga kontrak yang sedang berjalan agar selari dengan kehendak PGM 2020 dan tidak menekan ahli PIKM untuk membuat bayaran PGM sekiranya pelarasan tidak dilakukan,” katanya.
Selain itu katanya, pihak pelanggan sama ada dari pihak kerajaan atau swasta perlu membuat perancangan bajet yang tepat dengan memperkenalkan Activity Based Costing. Bermakna keperluan pengawal keselamatan selari mengikut bajet dan keperluan PGM semasa.
"PIKM yakin sekiranya cadangan ini diambil kira, kebajikan dan kemaslahatan pengawal keselamatan akan terus diutamakan sekali gus dapat memberi rangsangan agar lebih ramai tenaga kerja tempatan mengambil tempat dalam industri ini,” katanya.
Terdahulu, Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam kenyataannya meminta majikan memberi insentif tambahan supaya pekerja dalam sektor berkenaan kekal bekerja untuk tempoh yang lama.
Menurutnya, dasar kerajaan berhubung penggajian pekerja adalah memberi keutamaan kepada warga tempatan.
Katanya, KSN turut mengalu-alukan persatuan bekas tentera dan polis untuk menggalakkan anggota mereka yang berminat dan mempunyai keadaan fizikal serta kesihatan yang baik berkhidmat sebagai pengawal keselamatan.