Covid-19: KKM ingatkan jangan mudah selesa

Iklan
Dr Dzulkefly pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) menasihati orang ramai termasuk petugas kesihatan agar tidak terlalu selesa dengan kejayaan memulihkan pesakit koronavirus (Covid-19).

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ini kerana negara jiran, Singapura berada dalam keadaan gawat.

Iklan
Iklan

"Jangan mudah selesa kerana di Singapura kini berada di peringkat jingga," katanya.

Menurutnya, orang ramai perlu meningkatkan tahap kebersihan diri seperti saranan KKM.

Iklan

"Kerapkan basuh tangan dengan sabun dan menggunakan cecair pembasmi kuman.

"Bagi yang bergejala, sila ke fasiliti kesihatan untuk mendapatkan rawatan dan sila gunakan topeng muka bagi mengelakkan orang sekeliling dijangkiti," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Iklan

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly turut mengucapkan tahniah kepada petugas kesihatan yang bertungkus-lumus merawat pesakit Covid-19.

"Tahniah terutamanya atas usaha gigih semua kakitangan kita dari peringkat atasan sehingga ke petugas di semua peringkat yang banyak membantu menangani wabak ini,” katanya.

Malaysia mencatat 22 kes positif Covid-19 yang mana sembilan daripadanya masuk ke negara ini melalui Singapura.

Seramai lebih 300,000 rakyat Malaysia berulang alik dari Johor ke Singapura setiap hari.

Pada 7 Februari lalu, Singapura menaikkan Amaran Kedudukan Sistem Tindak Balas Perebakan Penyakit (DORSCON) tahap kuning kepada jingga berikutan penemuan beberapa kes virus itu membabitkan mangsa yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke China.