Terarium obsesi Nazrol Ikhwan

Iklan
PEMILIHAN pokok, hiasan dalaman dan moss penting untuk menjadikan terrarium cantik serta tahan lama.

ASALNYA beliau hanya sukakan aktiviti bertanam pokok unik. Siapa sangka, daripada hobi masa lapang, terarium yang dicipta mampu menjana wang sampingan buat Nazrol Ikhwan Che Nordin.

Bagi mereka yang asing dengan nama itu, terarium adalah ekosistem miniatur tumbuhan yang diletakkan bunga dan hiasan comel sama ada dalam keadaan tertutup atau terbuka. Biasanya ia dijadikan perhiasan.

Iklan
Iklan

Bagi anak kelahiran Tanah Merah, Kelantan itu, hobi unik berkenaan tercetus apabila terlihat satu video dalam media sosial mengenai terarium menggunakan pelbagai jenis lumut menghiasi bekas kaca tertutup.

"Mulanya saya pelik melihat reka bentuk moss (lumut) yang cantik dibina secara berlapis-lapis mengikut landskap yang dicipta. Perasaan ingin tahu meluap-luap. Jadi saya lihat dan belajar daripada video tersebut.

Iklan

"Sebenarnya sudah lama minat tanam pokok minimalis seperti kaktus, bunga unik dan jarang ada. Mungkin sebab dari kecil melihat emak dan ayah suka berkebun, jadi ia datang secara semula jadi,” bicaranya.

TERARIUM yang menggunakan pokok succulents mengikut kesesuaian saiz balang terbuka.

Pemuda berusia 37 tahun tersebut tidak menafikan kebanyakan bahan mentah dan peralatan diimport dari negara luar. Tidak ramai mereka yang membuat terarium di Malaysia.

Iklan

Kebanyakan video atau tutorial ditinjaunya juga dari negara luar dan hanya beberapa laman pemilik tempatan di Facebook yang menjadi rujukannya.

"Minat buat terarium ini sejak 2017 lagi. Saya ambil masa lebih setahun untuk belajar.

"Hanya belajar daripada video di YouTube dan mula-mula buat memang tak jadi. Tanah jadi kering dan moss berkulat. Ada ketikanya anak pokok yang ditanam mereput dan tanah jadi berbau,” ceritanya dengan nada kecewa.

Akan tetapi, kakitangan syarikat swasta itu tidak berputus asa. Nazrol Ikhwan belajar daripada kesilapan termasuk mengkaji struktur tanah, jenis lumut dan hiasan sesuai.

"Tanaman tidak menjadi dan gagal tahan lama biasanya disebabkan tanah ‘tidak bersih’. Kena buat pembersihan tanah supaya bebas daripada telur cacing, bakteria atau alga.

Peralatan seperti tweezers, berus dan sudu amat penting supaya terarium lebih kemas dan cantik.

Lebih 100 terarium

"Terpaksa ambil masa dan komitmen diri. Bila jumpa satu page kedai terarium yang terletak di USJ, saya lega sebab boleh beli balang atau peralatan lain di situ dengan mudah,” katanya yang seronok berpeluang mempelajari cara membuat terarium daripada pemilik kedai terbabit.

Biarpun awalnya hobi dilakukan hanya untuk mengisi masa lapang, begitupun, apabila ada dalam kalangan rakan-rakannya yang datang rumah dan tertarik dengan hasil kerja tangannya, ramai pula yang berminat membelinya.

Ada juga yang meminta Nazrol menghasilkan terarium khas untuk insan tersayang.

"Saya memang tak ambil tempahan dan hanya buat jika ada masa terluang sahaja,” katanya kepada e-Trend baru-baru ini.

Anak ketiga daripada lima beradik itu turut berkongsi tip mengenai pemilihan pokok, lumut dan hiasan dalaman balang kaca sama ada tertutup atau terbuka untuk hiasan lebih tahan lama.

"Sebenarnya banyak jenis moss yang perlu kita pelajari. Saya biasa guna pokok fittonia sebab sukakan warna yang pelbagai. Pemilihan balang juga penting untuk tempoh pembesaran pokok.

"Kalau mahu kekalkan saiz pokok renek, kena pandai adun tanah dengan baja supaya boleh membesar sehingga empat inci,” ujarnya yang memaklumkan pokok tersebut boleh dikerat mengikut kesesuaian saiz pembesaran.

PEMILIHAN pokok, hiasan dalaman dan moss penting untuk menjadikan terrarium cantik serta tahan lama.

Mengulas lebih lanjut mengenai tempoh membuat terarium, Nazrol Ikhwan tidak menafikan agak rumit untuk menanam lumut di celahan batu atau kayu yang disusun dalam landskap.

"Tetapi kerana minat, saya sanggup habiskan masa berjam-jam untuk menyiapkan satu terarium. Memang puas hati walaupun penat. Mungkin sebab kita minat, semuanya jadi senang.

"Kalau dulu, saya ambil masa empat hingga lima jam, itu pun tak siap. Sebabnya kalau salah potong, moss boleh terburai dan jadi rapuh. Jika potong terlalu pendek pun, tidak boleh juga,” katanya.

Namun begitu, kini jelasnya, set terarium yang ringkas boleh disiapkannya dalam tempoh tidak sampai satu jam.

Sebaliknya, jika lapisan kontur landskap lebih kompleks, kemungkinan masa perlu diambilnya melebihi tiga jam untuk hasil yang memuaskan.

"Setakat ini, lebih 100 terarium sudah disiapkan untuk kenalan mengikut saiz pada harga RM50 sehingga RM250 sahaja,” kata graduan Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang Teknologi Maklumat Multimedia itu.

Penyusunan tanah dan hiasan penting untuk tapak landskap yang kukuh dan tahan lama.