PUTRAJAYA - Perkembangan terkini mengenai kehilangan pesawat MH370 masih belum dibincangkan dalam Kabinet.
Perkara itu disahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini.
Menurut Dr Wan Azizah, ketika ini juga Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook masih berada di luar negara.
"Tidak ada dalam agenda (perbincangan mengenai perkembangan terkini kehilangan pesawat MH370)," katanya pada sidang akhbar Hari Wanita Kebangsaan Tahun 2020 di Pejabat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Kabinet hari ini berbincang mengenai perkembangan terkini kehilangan pesawat MH370.
Ia susulan dakwaan bekas Perdana Menteri Australia, Tony Abbott semalam yang mendedahkan kerajaan Malaysia sejak awal percaya tragedi kehilangan pesawat itu ada kaitan plot bunuh diri.
Menurut laporan The Australian, Abbott menegaskan masa dua minggu adalah sangat jelas kepadanya bahawa pesawat itu hampir pasti sengaja dijatuhkan oleh juruterbang.
Tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 pada 8 Mac 2014 itu mengorbankan keseluruhan 239 penumpang.
Mangsa terdiri 50 rakyat Malaysia, enam rakyat Australia, 153 rakyat China, tujuh rakyat Indonesia, tujuh rakyat Perancis, tiga rakyat Amerika, dua rakyat New Zealand, dua rakyat Kanada, dua rakyat Ukraine bersama mangsa-mangsa lain dari pelbagai negara.
ARTIKEL BERKAITAN Bekas PM Australia dakwa Malaysia tahu punca kehilangan MH370