JERANTUT - Seorang penghantar surat maut digilis sebuah lori dalam kemalangan di Kilometer (KM) 2.5 Jalan Jerantut-Maran- Kuantan di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.45 pagi, mangsa, Zulkarnain Malek, 51, yang juga kakitangan Majlis Daerah Jerantut maut di tempat kejadian selepas motosikal jenis Modenas CT100 ditungganginya terbabit kemalangan dengan sebuah lori jenis Nissan UD.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, siasatan awal mendapati motosikal ditunggangi mangsa dan lori berkenaan dari arah sama, Jerantut menghala Maran.
Menurutnya, setibanya di tempat kejadian dipercayai lori itu telah bergesel dengan motosikal berkenaan menyebabkan mangsa jatuh ke tengah jalan dan digilis lori terbabit.
"Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal itu meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, pemandu lori berusia 40 tahun itu telah ditahan untuk tindakan lanjut dan ujian air kencing dilakukan ke atas pemandu berkenaan didapati negatif.
"Siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.