'Keluar lokap, curi tabung masjid lagi'

Iklan
Gelagat suspek yang mencuri duit di dalam tabung milik sebuah masjid di Kampung Raja di sini berjaya dirakam CCTV. - FOTO: IHSAN IPD BESUT

BESUT - Seorang lelaki yang baru tiga bulan dibebaskan dari penjara ditahan sekali lagi selepas disyaki mencuri tabung masjid di sekitar Jerteh dan Kampung Raja di sini petang kelmarin.

Suspek berusia 59 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut di tepi jalan Pantai Kampung Dalam Rhu, Cherang Ruku, Pasir Putih, Kelantan kira-kira jam 4.30 petang.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, siasatan awal mendapati suspek dari Kuala Besut aktif melakukan kegiatan pecah tabung masjid di sekitar Jerteh dan Kampung Raja sejak Disember tahun lalu.

"Suspek mengaku melakukan kegiatan itu berseorangan dengan menggunakan motosikal pada waktu petang dan tengah malam selain ketika jemaah tiada dalam masjid.

Iklan

"Masjid yang biasa menjadi sasarannya adalah yang memiliki Tabung Derma Masjid dengan menggunakan senjata sejenis pemotong," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Sejumlah wang yang dirampas daripada suspek. - FOTO: IHSAN IPD BESUT

Abdul Rozak berkata, siasatan awal turut mendapati suspek terlibat dengan tiga laporan berkaitan dengan kes kecurian dalam masjid iaitu dua laporan dibuat di Balai Polis Kampung Raja dan satu di Balai Polis Jerteh.

Iklan

"Ketiga-tiga laporan itu melibatkan kecurian tabung masjid yang disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan," katanya.

Kata Abdul Rozak lagi, susulan penahanan suspek, turut dirampas wang tunai RM1 sebanyak 35 keping, satu keping wang tunai bernilai RM5 dan duit syiling berjumlah RM6 dipercayai hasil curi.

"Suspek yang memiliki 20 rekod lampau termasuk kes curi, pecah rumah dan dadah kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan," katanya.

Abdul Rozak menasihatkan kepada semua jawatankuasa masjid yang dilantik agar dapat memasang kamera litar tertutup (CCTV) di masjid masing-masing untuk keselamatan selain membantu pihaknya menjalankan siasatan sekiranya terdapat kes dilaporkan berlaku.