Kolam ternak keli guna darah diarah ditutup sementara: Norhizam

Iklan
Telur ayam busuk dan darah ayam dipercayai berlakunya pencemaran Sungai Baru Masjid Tanah. Gambar kanan: Norhizam

MELAKA TENGAH- Kerajaan Melaka menghentikan sementara operasi sebuah perusahaan menternak ikan keli di Masjid Tanah yang didapati kotor dan meloyakan.

Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan Koperasi dan Asas Tani, Datuk Norhizam Hasan Baktee, berkata, arahan telah dikeluarkan terhadap pengusahanya supaya membersihkan semua kolam ikan tersebut yang mengalirkan air kotor dari sisa darah serta telur ayam ke dalam sungai.

Iklan
Iklan

"Sebanyak 25 buah kolam ikan didapati bukan setakat kotor dan airnya berwarna kehitaman, malah kolam ini mengeluarkan bau yang sangat busuk seperti bangkai. Saya kecewa dengan keadaan ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Norhizam berkata, beliau begitu kesal dengan tindakan pengusaha tersebut yang nampaknya hanya mementingkan keuntungan berikutan tidak menyediakan pelan sistematik yang dilengkapi kemudahan kolam kumbahan serta kolam air terawat sejak ia mula beroperasi.

Iklan

Menurutnya, akibat tindakan pengusaha itu, ada orang lain yang terjejas berikutan bau busuk dan meloyakan yang keluar dari kolam kotor tersebut.

Tambahnya, sehubungan itu pihaknya telah memberi tempoh dua minggu kepada pengusaha berkenaan supaya mengosongkan kesemua 25 buah kolam ikan yang diusahakan itu.

Iklan

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, tindakan pengusaha ikan keli yang didakwa menggunakan darah dan telur ayam busuk sebagai makanan ikan dalam kolam itu terbongkar berikutan terdapat pencemaran yang dikesan di Sungai Baru Masjid Tanah.

Kolam ternakan ikan keli tersebut dipercayai memperoleh sisa darah itu daripada sebuah kilang penyembelihan ayam.

Tegas Norhizam, pengusaha berkenaan perlu mengikut syarat ditetapkan serta mempunyai pelan sistematik dalam menguruskan kesemua kolam tersebut sekiranya berhasrat meneruskan perniagaan itu.

"Saya tahu permintaan ikan keli begitu tinggi namun ia (kolam) perlu diuruskan dengan betul dan saya yakin Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga akan mengambil tindakan perundangan," katanya.