Penduduk enggan benarkan kerajaan bina longkang

Iklan
Shoo Chin (dua, kanan) menyampaikan sumbangan kepada 119 penduduk yang menjadi mangsa banjir minggu lalu di Dewan Pandan Jaya, hari ini.
MELAKA TENGAH - Adun Kesidang, Seah Shoo Chin kesal dengan sikap segelintir penduduk yang enggan membenarkan tanah mereka dijadikan laluan bagi membina longkang dengan tujuan mengatasi masalah banjir kilat.

Menurutnya, tindakan itu amat merugikan masyarakat berikutan sejumlah peruntukan dikeluarkan kerajaan namun tidak dapat dimanfaatkan.

"Sangat rugilah, misalnya di Kampung Padang kita sudah dapat RM100,000 untuk buat longkang tetapi tuan tanah tidak benarkan, jadi kita terpaksa alihkan peruntukan tersebut di tempat lain.

"Bagaimanapun, saya berusaha untuk mendapatkan persetujuan tuan tanah kerana pembinaan longkang dan parit ini penting. Kalau tanah mereka terhad tidak mengapa sebab mungkin mereka mahu buat bangunan tetapi ada sesetengahnya tanahnya besar, apa salah beri sedikit untuk buat longkang bagi selesaikan masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penyampaian sumbangan bantuan kepada 119 penduduk juga mangsa banjir minggu lalu di dalam kawasan Dun Kesidang di Dewan Pandan Jaya di sini, hari ini.

Selain Kampung Padang, turut terjejas adalah kawasan Limbongan, Lorong Pandan dan Balai Panjang.

Peruntukan tersebut adalah sebahagian daripada janji dinyatakan kerajaan negeri kepada mangsa banjir ketika Persidangan Dun lalu berjumlah RM2.8 juta seluruh negeri termasuk Dun Kesidang.

Selain itu, Shoo Chin turut memberi kata dua kepada syarikat yang terlibat di dalam melaksanakan projek tambak laut agar segera membina longkang konkrit bagi memudahkan air mengalir ke laut.

Tambahnya, keadaan longkang pasir sedia ada kini tidak dapat menampung jumlah saliran air, selain sering menjadi punca air tersekat sehingga terjadinya bencana banjir di kawasan berkenaan.