KUALA LUMPUR - Pemimpin perlu menonjolkan kebolehan yang tinggi agar kedudukannya tidak dicabar pihak lain.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, seseorang pemimpin juga perlu berani dan lebih bijak dalam menilai cabaran yang dihadapi.
"Dalam tiap satu kumpulan, kita perlu ada seorang pemimpin, kalau tidak kumpulan itu tidak boleh bergerak dengan berjaya, terutama berdepan cabaran.
"Kalau pemimpin dapat tunjuk jalan, cara, maka gerak kumpulan lebih berjaya. Ini kita lihat dalam tentera umpamanya, tentera tak berjaya kalau tiada pemimpin yang berwibawa, cekap, pintar daripada pengikutnya..pemimpin cekap dan pintar, maka pengikut juga akan dapat hasil daripada kepintaran pemimpin itu," katanya dalam ucaptama Program Malaysia Future Leaders School (MFLS) Tier 3 2020, di Pusat Belia Antarabangsa di sini hari ini.
Dr Mahathir juga berkata, masyarakat perlu didorong dan dipimpin sekurang-kurangnya satu pemimpin.
"Terlalu banyak pemimpin, akan timbul juga masalah kerana mereka akan berlawan antara mereka, dan lupa kepada tugas mereka untuk memimpin.
"Apabila pemimpin habiskan masa dan tenaga, bersaing sesama sendiri, maka mereka akan hilang keupayaan memimpin," katanya.
Beliau juga menegaskan, keistimewaan yang ada sebagai pemimpin harus digunakan untuk pengikut bukannya demi kepentingan diri semata-mata.
Ujarnya, pemimpin yang melakukan perkara keji tidak akan kekal sebagai pemimpin.
"Kejayaan seseorang terletak pada nilai hidup. Jika nilai buruk, pemimpin dan pengikut akan gagal dalam segalanya," katanya.