KUALA LUMPUR - Bilangan pekerja yang diberhentikan sejak kemunculan jangkitan Covid-19 masih menunjukkan trend yang normal dan tidak meningkat secara mendadak.
Menurut kenyataan Kementerian Sumber Manusia hari ini, setakat semalam, sebanyak 8,588 pekerja kehilangan pekerjaan dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah membelanjakan RM21 juta bagi membantu mereka.
Justeru, menurut KSM kenyataan Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan bahawa 100,000 rakyat Malaysia akan kehilangan pekerjaan jika COVID-19 berterusan sehingga penghujung tahun ini sebagai hanya spekulatif.
"Anggaran ini tidak mengambil kira pelbagai inisiatif yang telah, sedang dan akan dilaksanakan oleh kerajaan bagi melindungi pekerja dan menambah baik kecekapan pasaran buruh negara untuk menangani pelbagai cabaran sosio-ekonomi termasuklah ancaman Covid-19 ini,” menurut KSM.
Menurut kenyataan tu, pada tahun 2019 sebanyak 40,084 pekerja kehilangan pekerjaan dan melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sejumlah 18,745 pekerja berjaya ditempatkan semula sementara selebihnya masih menerima bantuan dan khidmat sokongan SIP.
Katanya, pada tahun lalu, KSM melalui Perkeso membelanjakan RM107 juta bagi membantu pekerja yang terjejas dengan memberikan faedah kewangan dan khidmat sokongan pekerjaan.
KSM menggalakkan golongan pekerja yang terjejas untuk membuat permohonan secara dalam talian menerusi https://eis.perkeso.gov.my/ dan mendaftar sebagai pencari kerja di https://eisjobs.perkeso.gov.my/ atau hadir ke mana-mana pejabat Perkeso terdekat untuk menerima bantuan SIP.
SIP menyediakan faedah kewangan segera iaitu Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) bagi tempoh tiga hingga enam bulan. Pekerja yang layak akan menerima EMP sebanyak 80 peratus daripada gaji bulanan anggapan bagi faedah SIP bulan pertama, 50 peratus pada bulan kedua, 40 peratus pada bulan ketiga dan keempat dan 30 peratus pada bulan kelima dan keenam.
KSM menegaskan bahawa tindakan memberhentikan pekerja adalah langkah terakhir yang boleh diambil oleh majikan dan kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang memberhentikan pekerja sewenang-wenangnya tanpa mengikut lunas undang-undang yang berkuat kuasa.- Bernama