COVID-19 yang setakat semalam telah meragut 2,004 nyawa di seluruh dunia menjadikan semua orang, termasuk saya, tercari-cari topeng muka.
Pada usia semakin meningkat dan keadaan kesihatan semakin merosot pula, saya amat memerlukan topeng keselamatan itu.
Kalau ikut cakap menteri, macam tidak ada masalah untuk mendapatkan topeng. Katanya, keadaan terkawal, bekalan cukup, asalkan tidak ada pembelian pukal. Tetapi pada cuti hujung minggu saya mengunjungi empat farmasi, dua supermarket, dua hypermarket dan tiga kedai runcit, kesemuanya meminta maaf kehabisan topeng.
"Bekalan tidak sampai, macam mana kita hendak jual,” kata seorang petugas kaunter di sebuah farmasi terkenal di Kelana Jaya.
Kata-kata seperti itu pernah saya dengar ketika minyak masak dan gula pasir tiba-tiba menghilang daripada pasaran satu ketika dulu.
Ada juga menteri yang berkata, jangan panik, keadaan terkawal. Biasalah, apabila menteri kata jangan panik, orang ramai lagi gubra.
Tambahan pula laporan media – lebih-lebih lagi media sosial @ berita palsu – menggambarkan keadaan begitu teruk.
Setiap hari ada jangkitan dan kematian baharu seluruh dunia. Ekonomi dunia terjejas, berbilion dolar bisnes di China kantoi.
Di Malaysia sendiri RM berpuluh juta tempahan hotel dan penerbangan dibatalkan, bilangan pelancong merosot, tempat yang biasanya menjadi tumpuan umum semakin lengang.
Sana-sini orang bercakap mengenai virus Wuhan yang boleh berjangkit menerusi sentuhan dan pernafasan. Sana-sini orang bercakap mengenai topeng.
Dan topeng tidak ada, kilang tidak berupaya mengeluarkan topeng untuk memenuhi permintaan. Macam mana tidak gubra?
Ada yang mengambil kesempatan menaikkan harga topeng. Contoh, topeng 80 sen seunit dijual pada harga RM1.
Seperti yang dilaporkan media kompaun sebanyak RM10,000 telah dikenakan kepada pemilik premis terbabit.
Banyak aduan dibuat tentang sesetengah pihak menaikkan harga barang tersebut. Biasalah sentiasa ada penghisap darah @ puntianak mengambil kesempatan menaikkan harga.
Tetapi hakikatnya ialah pihak pengeluar topeng tidak berupaya memenuhi permintaan yang mendadak itu. Mereka berjanji menambah pengeluaran tetapi tidak semudah itu.
Seperti dimaklumkan kita ada lebih kurang 10 syarikat pengeluar topeng yang selama ini beroperasi dua syif. Untuk meningkatkan pengeluaran, kilang boleh meningkatkan tiga syif, tetapi masalahnya ialah kekurangan pekerja.
Pendek kata banyak ding-dong-ding-dong untuk kilang meningkatkan pengeluaran. Menteri cakap mudah, tingkatkan pengeluaran, tambah pekerja. Kilang kata, mana hendak cekau pekerja?
Jadi, masalah kekurangan topeng muka itu tidak boleh selesai sehari dua. Sedangkan Covid-19 semakin mengganas.
Maka sebagai langkah berjaga-jaga, kalau boleh hadkan pergerakan kita dan elakkan berkunjung ke tempat tumpuan umum. Ketatkan peraturan kesihatan diri dengan sering mencuci tangan. Segera bertemu doktor sekiranya demam. Berdoa untuk kesejahteraan.
Laporan media antarabangsa menyebut bagaimana seluruh dunia menjadi sasau gara-gara tiada topeng muka. Ada yang melakukan kaedah sendiri menggantikan topeng muka.
Di Luzhou, China, seorang wanita terpaksa menggunakan kostum zirafah berikutan bekalan topeng muka kehabisan stok.
Wanita yang dikenali sebagai He itu berkata, dia membeli kostum tersebut minggu lalu bagi menggantikan topeng muka, lapor Daily Star.
Di Beijing, ada penduduk menggunakan botol air sebagai penutup muka. Rakaman video berdurasi enam saat itu dimuat naik di Twitter sebelum tular di laman sosial.
Sebelum ini, tular berita seorang lelaki di Wuhan menggunakan tuala wanita sebagai topeng muka bagi melindungi dirinya daripada jangkitan wabak tersebut.
Maka kekurangan topeng muka di tempat kita hendaklah diatasi segera, tanpa banyak ding-dong-ding-dong. Takut nanti ada yang terdesak dan terlebih kreatif menggunakan seluar dalam sebagai penutup muka!