Menang di Cameron Highlands boleh jadi bibit mula PH ambil alih Pahang

Iklan
Calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P078 Cameron Highlands M. Manogaran melambaikan tangan kepada pengamal media ketika melakukan proses pendaftaran untuk penamaan calon di Dewan Gemilang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad Shah hari ini. - Foto Bernama

TANAH RATA - Kerajaan PH mengharapkan kemenangan parti itu pada PRK Parlimen Cameron Highlands akan menjadi bibit permulaan buatnya dalam usaha mengambil alih Pahang daripada BN.

Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo berkata untuk itu, calon PH iaitu M. Manogaran harus dimenangkan bagi memudahkan lagi perkhidmatan diberikan kepada penduduk setempat memandangkan PH kini menguasai kerajaan pusat.

Iklan
Iklan

"Apabila kita melihat pada masa lalu, kita mempunyai calon daripada BN selama 61 tahun tetapi kita dapati masalah yang membelenggu penduduk di sini selama ini masih belum dapat diselesaikan.

"Saya sudah bercakap dengan komuniti di sini dan mendapati ada rasa kekecewaan kerana ini adalah masalah yang menjejaskan kehidupan seharian. Jadi saya rasa inilah masanya untuk kita melihat kepada perubahan,” katanya.

Iklan

Gobind yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata demikian ketika ditemui selepas program santai pemimpin Pakatan Harapan bersama kira-kira 200 anggota komuniti Orang Asli Cameron Highlands yang turut disertai Manogaran di Dewan Quintet, di sini, hari ini.

Mengenai peluang PH untuk memenangi PRK berikutan BN meletakkan calon daripada kalangan Orang Asli, Gobind berkata meskipun BN dilihat mempunyai kelebihan terutama dalam meraih sokongan komuniti Orang Asli, namun Manogaran diyakini mempunyai kelebihan memfokuskan kepada isu setempat demi kepentingan rakyat.

Iklan

"Sudah tentu ia sukar bagi kita. Saya rasa akhirnya nanti kita perlu melihat kepada seseorang yang biasa dengan isu keseluruhan komuniti di sini dan seseorang yang mampu bersuara, mencari penyelesaian untuk mereka,” kata Gobind yang juga Ahli Parlimen Puchong.

Sementara itu, ditanya mengenai isu Ahli Dewan Negara Senator Bob Manolan Mohamad yang didakwa mengugut pemimpin masyarakat Orang Asli atau Tok Batin dalam satu majlis di Pos Betau, Gobind berkata beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan.

"Saya tidak mahu komen lebih memandangkan kes itu dalam siasatan polis dan biar mereka menjalankan tugas mereka,” katanya.

Semalam, Pemuda Umno Pahang telah membuat satu laporan polis berhubung kenyataan Bob Manolan untuk memberhentikan penyaluran gaji dan melucutkan jawatan Tok Batin sekiranya tidak mengundi calon PH dalam PRK Parlimen Cameron Highlands.

PRK itu akan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Timbalan Pengerusi DAP Pahang M. Manogaran, 60, mewakili PH, bekas pegawai kanan polis Ramli Mohd Nor, 61, (BN) dan bekas pensyarah di Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib, 61, serta petani Wong Seng Yee, 40, masing-masing sebagai calon bebas.

PRK Parlimen Cameron Highlands berlangsung selepas Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh daripada BN pada Pilihan Raya Umum ke-14, terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.- Bernama