SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Selangor menuntut Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang akan bermesyuarat esok menetapkan tarikh khusus bagi peralihan jawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengarah Komunikasi AMK Negeri Selangor, Mohd Khairool Ngadon berkata, dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan AMK Selangor yang dipengerusikan Ketua AMK negeri, Mohd Najwan Halimi semalam, pihaknya sepakat mengambil beberapa ketetapan.
Menurutnya, antaranya pihaknya menuntut Majlis Presiden PH menetapkan tarikh khusus bagi peralihan jawatan Perdana Menteri.
"AMK Selangor desak satu tarikh khusus ditetapkan bagi peralihan jawatan Perdana Menteri melibatkan Dr Mahathir dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Datuk Seri Anwar bersama Majlis Presiden PH pastinya berupaya memutuskan tarikh peralihan jawatan memandangkan wujud percubaan pihak tertentu dari dalam dan luar untuk menimbulkan suasana politik tidak menentu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd Khairool berkata,dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan AMK Selangor semalam, keputusan sebulat suara turut membantah cadangan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara.
Beliau berkata, ia berikutan hutan tersebut merupakan kawasan hutan gambut dan bakau kedua terpenting di Selangor selepas Hutan Simpan Raja Musa.
Menurutnya, struktur tanah gambut itu menjadikan Hutan Simpan Kuala Langat Utara sebagai kawasan tadahan air bawah tanah yang signifikan.
"Hutan Simpan Kuala Langat Utara juga merupakan kawasan rayau bagi orang asli suku Temuan yang mencecah jumlah seramai 4,000 orang. Justeru, AMK Selangor mendesak Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Datuk Seri Amirudin Shari menolak cadangan penyahwartaan ini sekali gus menjunjung titah ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.
"Baginda dalam istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor ke-14 yang lalu menzahirkan supaya kawasan tadahan air dan hutan simpan di Selangor dikekalkan serta dipelihara dengan baik supaya sumber air di Selangor mencukupi dan tidak terjejas pada masa akan datang,” katanya.