SHAH ALAM - Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) yakin mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang berlangsung esok mencapai kata sepakat sekali gus menamatkan polemik peralihan kuasa Perdana Menteri antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah, Khairuddin Daud berkata, persetujuan peralihan kuasa perlu dicapai bagi memastikan keharmonian kerjasama PH dan mengekalkan kestabilan kerajaan.
Menurutnya, Dr Mahathir sebagai Pengerusi PH telah memimpin kemenangan dan pemimpin parti komponen bersetuju mengangkat Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.
"Dr Mahathir bersetuju untuk memastikan transisi Perdana Menteri berlangsung selepas persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).
ARTIKEL BERKAITAN: 'Ada muslihat licik, tapi Tun M tetap pegang pada janji'
"Walau bagaimanapun, Pemuda Amanah menggesa agar Majlis Presiden PH menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk kerjasama dengan UMNO dan Pas agar kepercayaan rakyat terhadap PH tidak terjejas sebagaimana harapan rakyat memberi mandat sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada 13 Februari lalu, Anwar cenderung agar Dr Mahathir menerajui negara sehingga selesainya APEC yang dijadualkan berlangsung pada bulan November nanti.