KUALA LUMPUR - Beberapa gadis pelayan pelanggan (GRO) berpura-pura menangis minta dilepaskan selepas ditahan pihak Imigresen dalam operasi di dua pusat hiburan di Solaris Mont Kiara, di sini tengah malam tadi.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, operasi Ops Gegar bermula jam 12.20 tengah malam tadi berjaya menahan seramai 94 wanita warga asing disyaki GRO berusia lingkungan 20 hingga 35 tahun.
Menurutnya, dalam serbuan di premis pertama, pihaknya berjaya menahan 40 GRO manakala premis kedua seramai 54 orang.
"Semakan mendapati mereka ini terdiri daripada 86 warga Thailand, Vietnam (6), Kazakhstan (1) dan Korea (1).
"Siasatan mengesyaki premis menawarkan khidmat wanita terbabit sebagai GRO dan bergerak dari meja ke meja untuk mendapatkan habuan tip daripada pelanggan dengan harga bermula RM50 sehingga RM300. Malah kita tidak tolak kemungkinan wanita terbabit boleh dibawa pulang sekiranya pelanggan mampu membayar RM1,000," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Hamidi berkata, pemeriksaan juga mendapati majoriti GRO terbabit menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja di kelab terbabit.
Tambah Hamidi, semasa serbuan terbabit dijalankan, ada antara GRO bertindak cuba melarikan diri melalui pintu belakang, malah ada yang menangis mahu meraih simpati.
"Semasa pemeriksaan sedang dibuat, ada antara GRO ini cuba meraih simpati dengan menangis dan merayu kepada anggota operasi. Namun, tindakan tetap diambil atas kesalahan yang dilakukan.
"Selain itu, seorang pengurus dan tiga bonzer warga tempatan turut ditahan kerana menghalang tugas penjawat awam," katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 56(1)(d) Akta yang sama.