RATA-RATA orang ramai agak keliru dengan penggunaan insulin kerana dikatakan boleh merosakkan buah pinggang.
Adakah benar keadaan sedemikian?
Sebenarnya, insulin sama sekali tidak merosakkan buah pinggang. Hal demikian kerana, insulin yang dicucuk kepada pesakit kencing manis itu adalah sama strukturnya dengan insulin yang dihasilkan oleh badan manusia sendiri.
Bagaimana ubat insulin itu boleh sama strukturnya dengan insulin yang dihasilkan dalam badan manusia?
Ubat insulin boleh sama strukturnya dengan insulin semula jadi yang dihasilkan dalam badan manusia melalui teknologi kejuruteraan genetik. Segala protein dalam badan kita dibina melalui gen dalam sel badan termasuklah insulin.
Gen yang menghasilkan insulin tersebut dikenal pasti dan dimasukkan ke dalam gen bakteria. Setelah itu, bakteria berkenaan pula mempunyai kemampuan untuk menghasilkan insulin yang sama seperti dalam badan manusia. Insulin itulah yang digunakan kepada pesakit kencing manis.
Oleh itu, tidak perlu gusar lagi apabila ramai mengatakan ia boleh merosakkan buah pinggang kerana perkara itu tidak benar sama sekali.
ANEKDOT
Jenis insulin yang sesuai kepada pesakit kencing manis:
Ia bergantung kepada bila dan sejauh mana kesannya terhadap paras glukos darah termasuklah:
1. Permulaan tindakan – Bila ia mula bertindak menurunkan paras glukosa?
2. Puncak tindakan – Bilakah kesannya di paras maksimum terhadap paras glukosa darah?
3. Jangka masa tindakan – Berapa lamakah tindakan keseluruhannya bertahan?
Kesan masa dan tempoh tindakan insulin adalah berbeza untuk setiap individu dan ia boleh juga bergantung kepada:
- Di manakah suntikan diberi
- Suhu
- Aktiviti fizikal
- Peredaran darah
- Jenis diabetes dan paras glukos dalam darah
- Gaya hidup
- Pemakanan
- Sama ada pesakit mempunyai masalah kesihatan yang lain atau tidak
- Kaedah insulin berinteraksi dengan ubat dan suplemen yang diambil
Sumber:@thediagnosa dan myhealth.gov.my