CARDIFF - Seorang warga emas nekad berlawan dengan seorang pencuri meskipun diserang bertubi-tubi ketika selesai mengeluarkan wang di mesin juruwang automatik (ATM) di hadapan sebuah pasar raya di sini.
Aksi mereka dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di luar pasar raya tersebut.
Lelaki berusia 77 tahun itu tiba di ATM untuk mengeluarkan wang sebaik selesai urusannya, dia didatangi seorang lelaki berkulit putih memakai tutup muka dan jaket berwarna hitam.
Pencuri itu cuba mencekik leher warga emas, namun berjaya ditepis dan masing-masing berbalas tumbukan hingga mengakibatkan pencuri itu melarikan diri.
"Mangsa menunjukkan keberanian yang hebat dan pencuri itu melarikan diri," kata Detektif Constable Stephen Mayne dari Polis South Wales kepada The Independent.
Dalam pada itu, kata Stephen, pihaknya mengalu-alukan kerjasama orang ramai termasuk saksi dalam menghulurkan maklumat berkaitan kes tersebut.
"Sesiapa yang berjaya mengesan pencuri itu boleh hubungi di balai berhampiran.
"Bagaimanapun apa yang dilakukan oleh warga emas itu adalah tindakan yang berani," katanya.
Dalam pada itu, rakaman CCTV itu tular di laman sosial dan sehingga kini lebih 117,000 tontonan dari netizen.