PUTRAJAYA - Projek Lebuhraya Bangsar-Damansara tetap diteruskan meskipun mendapat bantahan penduduk sekitar.
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, ini kerana kontrak-kontrak berkaitan telah ditandatangani sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
"Hakikatnya perintah pembangunan (DO) telah ditandatangani dan apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran, mahu atau tidak, kerajaan baharu ini terpaksa meneruskan komitmen terdahulu," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 Peringkat Plan Malaysia di sini hari ini.
Turut hadir, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Ketua Pengarah Plan Malaysia, Datuk Mohd Anuar Maidin.
Bagaimanapun Khalid berkata, kerajaan bersedia untuk mengurangkan impak pembinaan lebuh raya tersebut.
"Kita boleh mengurangkan impak negatif dan pertemuan dengan rakyat akan diadakan bagi tujuan itu," katanya.
Menurutnya, kepadatan penduduk dan trafik serta pembangunan di kawasan sekitar itu memerlukan lebuh raya bertingkat tersebut.
"Lebuh raya itu memang diperlukan. Tandatangan telah dimeterai pada tahun 2017 dan pembangunan telah berlaku, bagaimana kita nak buat?"
"Apabila kita ambil alih, susah untuk kata batal," katanya
Terdahulu, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dalam kenyataan bersama membidas kerja-kerja permulaan lebuh raya itu.
Mereka turut menyatakan kebimbangan perbelanjaan besar RM100 juta oleh DBKL dalam projek itu dan menyifatkan ia seperti projek pembangunan swasta.
Selain itu, Hannah dan Fahmi menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat projek tersebut.
Dalam pada itu, Nor Hisham mengalu-alukan siasatan SPRM.
"Silakan. Kalau ada kesilapan, kesalahan yang berlaku dalam DBKL, silakan... ia terbuka kepada mana-mana pihak (untuk siasat)," katanya.