Ham dan Cheese: Isu yang tidak wajar dipandang ringan

Iklan
Halal haram dalam pemakanan amat penting bagi umat Islam yang prihatin. Gambar kecil: Mohammad Shahray Halal haram dalam pemakanan amat penting bagi umat Islam yang prihatin. Gambar kecil: Mohammad Shahray
Halal haram dalam pemakanan amat penting bagi umat Islam yang prihatin. Gambar kecil: Mohammad Shahray

ISU produk ‘sandwich ham and cheese’ yang dijual di cawangan kedai serbaneka KK mart di Universiti Malaya (UM) yang juga dikatakan menyalahgunakan logo halal masih belum reda.

Saya juga berhujah dengan rakan-rakan yang menganggap isu ini adalah isu ringan.

Iklan
Iklan

Kata-kata pelik dan sedikit kurang bijak seperti"Kalau begitu nama-nama seperti Hamzah, Hamidun, Hamisah dan Hamdan patutlah diharamkan sekali!”

Ada juga yang mempersendakan dengan menyatakan orang Islam tidak boleh lagi menyokong pasukan-pasukan English Premier League seperti Tottenham Hotspur dan West Ham kerana ada perkataan ‘ham’.

Iklan

Hujah-hujah dangkal begini memang selalu kita dengar dan kita kena bersabar dalam memberikan penjelasan kepada mereka.

Mereka tidak tahu membezakan isu halal haram makanan dengan nama orang dan nama pasukan bola sepak.

Iklan

Ada yang ‘spin’ atau memutarkan kata-kata dengan menyatakan ham itu ada pelbagai jenis seperti ‘chicken ham’ dan ‘beef ham’.

Masalahnya di sini ialah ‘ham and cheese’. Isu ini telah tidak ditangani dengan cerdik menyebabkan dipersendakan begitu jauh sekali seperti apa yang berlaku di mana pelawak Harith Iskander melalui hantaran di media sosialnya baru-baru ini memuat naik sekeping gambar yang menunjukkan segelas kopi dinamakan dengan ‘ham sap kopi’ berharga RM5.50.

Hantaran itu dimuat naik di Facebook pelawak itu yang turut menyatakan"Saya begitu keliru, iman saya tergugat. Kopi ini akan membawa saya ke jalan yang salah dalam perbagai cara. Saya mesti buat laporan polis kerana saya terlalu lemah sehingga hilang semua kemampuan untuk berfikir secara logik. Siapa lagi yang keliru?”

Tulisan itu diikuti emoji ketawa hingga keluar air mata.

Ingin saya katakan lawak ini adalah lawak hambar yang mempersendakan agama sendiri.

Lagi satu pandangan dan hujahan yang tidak cerdik kerana tidak tahu membezakan secawan kopi dengan ‘daging’ yang diragui kehalalannya.

Sebagai umat Islam lebih-lebih lagi berada di dalam negara Islam, yang prihatin tentang isu halal haram ini tentulah timbul rasa curiga mengenai status halal ‘ham and cheese’ ini.

Ada yang mendakwa ham ini di tempat lain di barat membawa makna yang berlainan. Hujah ini diragui kerana terjemahan ham itu kalau digunakan secara tunggal merujuk kepada babi.

Kita ambil terjemahan dari google terlebih dahulu. Terjemahan dari AI overview yang saya google menyatakan seperti berikut:

AI Overview

"The word ham in Malay is daging babi yang diawetkan, which means"cured pork". It is a processed meat product that is typically made from a pig's back leg”.

Jelas di sini ham membawa maksud daging babi yang diawetkan. Ianya adalah daging proses yang secara tipikalnya dibuat dari kaki belakang babi.

Ini bagi perkataan ‘ham’ secara tunggal. Kita tidak membincangkan chicken ham atau beef ham. Jangan cuba mengelirukan orang ramai.

Berikut adalah terjemahan dari Cambridge Dictionary secara atas talian yang mendefinisikan ham seperti berikut:

Ham – noun /hӕm/the top of the back leg of a pig, salted and dried

Ham – kata nama – bahagian atas kaki belakang babi, di’asin’ kan dan dikeringkan.

Kamus Dwi Bahasa Oxford Fajar ( Joyce M Hawkin: 2011) mendefinisikan ‘ham’ sebagai daging paha babi yang disalai”

Tidak puas dengan itu saya meneliti lagi satu kamus iaitu The New Lexicon Webster’s Dictionary of the English Language, Encyclopedia Edition (1991) yang menterjemahkan ham sebagai:

"A whole thigh of a hog, salted and smoke-dried, eaten roasted, boiled or fried” /" a back of an animal’s thigh.”

Secara mudahnya ia membawa maksud keseluruhan peha babi, di’asin’kan dan disalai, dimakan panggang, rebus atau digoreng/maksud kedua ialah bahagian belakang peha haiwan.

Apapun kebanyakan kamus mendefinisikan ham sebagai babi, melainkan jika ditambah ‘chicken-ham’ atau ‘beef-ham’ ia mungkin akan menukar maksudnya dengan lebih jelas.

Meneliti terjemahan-terjemahan tadi adakah wajar orang-orang Islam tidak mempersoalkan perkara tersebut?

Kita telah diperolokkan dan dipermainkan dengan orang yang berfikiran"tidak apa” dalam isu halal haram.

Isu ini sewajarnya dijelaskan dan dibincangkan oleh semua pihak secara bijaksana dan bukan ‘putar’atau ‘spin’ seperti mesin basuh.

Menteri berkaitan, pemilik KK Mart, bahagian hal ehwal agama sepatutnya berbincang secara telus dan terbuka dan bukan mengelak dan menangguhkan isu ini sehingga melarat sebegini.

Berbalik kepada lawak Harith tadi, ia mendapat komentar dari seorang individu yang bernama Cecelia Yap Sing KL yang membuat komentar yang pada saya amat biadap "All names with MoHAMmad... got to be renamed then.”

Komen itu mendapat maklum balas yang panas kerana ia seolah-olah mempermainkan semua orang bernama Mohammad termasuk junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Perkara ini tidak akan terjadi jika tindakan tegas dapat diambil terlebih awal.

Saya berharap lawak tidak lucu ini diambil tindakan segera oleh pihak-pihak berkenaan.

Kenyataan dari individu bernama Cecelia Yap Sing amat biadab pada pandangan saya.

Halal haram dalam pemakanan amat penting bagi umat Islam yang prihatin. Ada juga orang yang bukan Islam yang bersikap memahami isu ini dan menyatakan seorang Muslim yang baik akan mengambil berat tentang isu halal haram.

Untuk pengetahuan semua, sijil halal ini bukan sahaja dikeluarkan di Malaysia sahaja bahkan di seluruh dunia termasuk di Amerika Syarikat.

Amerika Syarikat mempunyai satu majlis yang dinamakan Ifanca iaitu ‘Islamic Food and Nutrition Council of America’.

Ifanca telah wujud sejak 1982 dan telah bekerja keras untuk mempromosikan makanan dan produk kesihatan yang halal untuk seluruh dunia.

Jika di Amerika Syarikat dan di negara Eropah yang lain mengambil berat tentang perkara halal haram yang membabitkan umat Islam, bagaimana ia boleh dianggap remeh di Malaysia oleh sebilangan dari kita?

Selain pork, babi dalam bahasa-bahasa lain dikenali sebagai swine, lard, bacon, ham, sow, char siu, dwaeji, bak, boar, porcine, pig, hog, nibuta dan yakibuta. Bila ia membawa dwi makna maka pihak berkenaan hendaklah menjelaskan kepada orang ramai mengenai perkara ini.

Di bawah Undang-Undang di negara ini iaitu di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730), iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, tindakan menyalahgunakan label logo halal boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM5 juta dan bagi kesalahan berikutnya, tidak lebih RM10 juta.

KK Mart pernah dilanda kontroversi penjualan stoking yang tertera kalimah 'ALLAH' di salah satu cawangannya di Petaling Jaya.

KK Mart dan pembekal stoking itu didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan masing-masing dikenakan denda RM60,000.

Kenapa umat Islam sangat prihatin dengan halal haram? Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud:

"Wahai Ka’ab bin ‘Ujroh, sesungguhnya tidaklah daging (anggota badan) yang tumbuh berkembang dari sesuatu yang haram kecuali semua itu lebih berhak dibakar dalam api neraka.”

(HR. Tirmidzi)

Diharapkan sensitiviti umat Islam dalam isu halal haram ini dapat diberi keutamaan dan dihormati oleh semua pihak.

Janganlah isu ini dipermainkan dan diperlekehkan.

Menteri-menteri dan pembangkang sewajarnya duduk semeja dan bincangkan perkara ini dengan matang dan bukan menunjukkan siapa gagah atau siapa cerdik dan siapa tidak. Rakyat memerhatikan tingkah laku kamu semua.

* Mohammad Shahray Zulkifli adalah bekas peguam syarie yang pernah bertugas di Negara Brunei Darussalam selama 24 tahun.