KUALA LUMPUR - Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mahu kerajaan mempertimbangkan langkah untuk mengekalkan hukuman mati mandatori bagi kesalahan mengedar dadah.
Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, hukuman sedia ada yang dilaksanakan buat masa ini adalah memadai dan setimpal dengan jenayah yang dilakukan.
"Bagi Putra, hukuman mati mandatori ini mesti dikekalkan untuk semua kesalahan jenayah yang menyebabkan kematian. Jika sesiapa sahaja menjadi mangsa pembunuhan, hukumannya (kepada penjenayah) mesti juga gantung sampai mati, setimpal dengan jenayah yang dilakukan dan ia memberi keadilan kepada mangsa serta keluarga," katanya pada sidang akhbar khas di Ibu Pejabat Putra hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan akan kaji semula undang-undang berkaitan dadah
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Selasa yang mengatakan bahawa hukuman mati mandatori mungkin dipinda kepada hukuman penjara seumur hidup bagi kesalahan mengedar dadah.
Dr Mahathir berkata, kerajaan akan mengkaji undang-undang berhubung kesalahan berkaitan dadah kerana ada pihak berpendapat hukuman dikenakan sekarang adalah terlalu keras.
Ibrahim berkata, jika hukuman mati mandatori dipinda kepada hukuman penjara seumur hidup, pihaknya bimbang jenayah berkaitan dadah akan meningkat.
Beliau berkata, sekiranya hukuman penjara seumur hidup dilaksanakan, kerajaan akan menanggung kos yang lebih tinggi bagi setiap banduan di penjara termasuk makan dan minum serta perubatan. - Bernama