MARANG - Garis panduan lengkap mengenai sebarang aktiviti berbentuk hiburan, kebudayaan dan pelancongan di Terengganu masih dalam draf perbincangan dan belum dimuktamadkan.
Exco Perlaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu, Satiful Bahri Mamat berkata, Pejabat Penasihat Undang-undang Terengganu masih menilai draf berkenaan untuk penambahbaikan.
Menurutnya, garis panduan itu mengambil sedikit masa kerana melibatkan beberapa pihak dan Exco berkaitan serta mengambil pandangan mufti.
"Draf itu belum dilancarkan kerana kita masih dalam proses penambahbaikan. Saya duduk semeja dengan Exco berkaitan seperti pelancongan dan kerajaan tempatan.
"Draf cadangan telah diberikan kepada Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri untuk melihat dan memberi komen bagi penambahbaikan.
"Sebelum dilancarkan, kita akan dapatkan nasihat daripada penasihat undang-undang negeri dan mufti. Selepas itu akan ada lagi perbincangan untuk penambahbaikan dan kemudiannya baru dimuktamadkan dan dilancarkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Program Tahfiz Mandarin Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Marang di sini hari ini.
Sebelum ini, Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Terengganu, Ariffin Deraman memaklumkan garis panduan lengkap mengenai sebarang aktiviti berbentuk hiburan, kebudayaan dan pelancongan di Terengganu akan diwartakan pada tahun ini.
Panduan itu turut melibatkan orang bukan Islam dan akan diguna pakai semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini selepas digazetkan.
Sementara itu, ditanya mengenai kebimbangan masyarakat bukan Islam sekiranya program kebudayaan masyarakat itu mungkin terjejas, Satiful bagaimanapun berkata, mereka tidak perlu bimbang dan tunggu garis panduan itu dilancarkan.
"Tunggu garis panduan dahulu, tapi biasanya bukan Islam tidak diganggu.
"Ia hanya sebagai garis panduan untuk pihak berkuasa tempatan dan pengusaha syariah. Ia hanya berkait dengan orang Islam," katanya.