KUALA LUMPUR- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata sudah tiba masanya Suruhanjaya Amal diwujudkan bagi menambah baik kecekapan, ketelusan dan tadbir urus baik dalam sektor kewangan sosial.
Beliau berkata penubuhan suruhanjaya itu akan mencegah sumbangan yang diberikan tidak sampai ke tangan penerima.
"Ini membolehkan satu mekanisme yang telus dalam menentukan amaun pemotongan untuk tujuan pentadbiran.
"Apa yang penting, ia juga bakal mewujudkan amalan terbaik dalam sektor kewangan sosial," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-10 Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) di sini malam ini.
Turut hadir Presiden Pengasas IDEAS Tunku Zain Al-’Abidin Tuanku Muhriz.
Wan Azizah berkata kerajaan juga sedang meneliti untuk menambah baik proses pengagihan semula kekayaan untuk menjadikannya lebih berkesan.
Beliau berkata jurang antara golongan kaya dan miskin boleh dirapatkan menerusi sektor kewangan sosial.
"Kewangan sosial seperti yayasan, organisasi amal dan pembiayaan mikro untuk golongan miskin akan menjadi kuasa ketiga dalam meningkatkan ekonomi dengan kesan positif terhadap pengagihan kekayaan,” katanya.
Wan Azizah berkata kerajaan juga akan mengkaji semula takrif kemiskinan.
"Selain hanya melihat kepada pendapatan isi rumah, definisi baharu juga akan mengambil kira pendapatan per kapita isi rumah,” katanya.
Beliau berkata kerajaan juga melihat kepada langkah mengkategorikan segmen berbeza di bawah B40.
"Jika kita menggunakan seluruh kategori B40 secara keseluruhan untuk strategi pengagihan semula, ini bermakna strategi yang sama akan digunakan untuk tiga kumpulan utama dalam kategori itu iaitu golongan fakir, miskin dan juga mereka yang hanya mampu memenuhi keperluan asas,” katanya.
"Sebenarnya, ketiga-tiga kumpulan ini memerlukan strategi pengagihan semula yang berbeza," katanya. - BERNAMA