Sembunyi 30 minit 'perangkap' warga asing

Iklan
Sebahagian warga asing yang ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen Perak, semalam.

IPOH - Sepasukan pegawai operasi Jabatan Imigresen Perak bertindak bersembunyi lebih 30 minit bagi memastikan warga asing keluar dari tempat persembunyian dalam satu serbuan di sebuah kediaman tidak bernombor di Gopeng, semalam.

Pengarah Imigresen Perak, Kamalludin Ismail berkata, serbuan pertama dilakukan mendapati premis berkenaan kosong dan tidak berpenghuni.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun menurutnya, premis berkenaan dilihat mencurigakan kerana terdapat barang-barang seperti pakaian dan perabot yang ditinggalkan.

"Untuk mengaburi mata warga asing ini, sebahagian pegawai operasi bersembunyi di sekitar premis terbabit dan selebihnya telah ke lokasi lain.

Iklan

"Setelah mendapati pegawai operasi beredar dari lokasi tersebut, warga asing memasuki semula premis terbabit tanpa menyedari keberadaan anggota operasi bersembunyi di sekitar premis itu," katanya.

Menurutnya, kecekapan anggota mengepung kawasan berkenaan berjaya menahan 11 warga Myanmar.

Iklan
Warga asing yang ditahan atas pelbagai kesalahan Akta Imigresen 1959/63.

"Mereka ditahan untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata, dalam Operasi Bersepadu bermula 9.30 malam hingga 2.30 pagi itu, sebanyak 16 premis antaranya lot perniagaan, kedai makan dan gudang pasar raya di sekitar Ipoh, Gopeng, Taiping, Bagan Serai dan Kuala Kurau diperiksa.

Katanya, hasil pemeriksaan, seramai 58 warga asing berusia lingkungan 16 hingga 40 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan Akta Imigresen 1959/63.

"Mereka yang ditahan terdiri 21 warga Thailand, Bangladesh (17), Myanmar (12), Nepal (3), Indonesia (2) serta masing-masing seorang warga Pakistan dan India atas kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, melanggar syarat pas lawatan dan tinggal lebih masa.

"Seorang warga tempatan turut ditahan atas kesalahan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI)," katanya.