PUTRAJAYA - Kerajaan tidak akan mengenakan sekatan terhadap kemasukan rakyat China ke negara ini berikutan wabak Covid-19.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, perkara itu telah diputuskan dalam Mesyuarat Tertinggi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat Berhubung Covid-19 yang dipengerusikannya hari ini.
"Kita ada bincang, tetapi kita putuskan untuk tidak sekat," katanya.
Menurutnya, kerajaan akan memperketatkan kawalan terhadap pelancong dan pelajar China di pintu masuk utama negara.
"Kita akan mempertingkatkan kawalan dengan melakukan ujian saringan termasuk swab test ke atas mereka bergejala.
"Sekiranya tidak bergejala, mereka akan diperintah menjalani pengawasan di rumah," katanya.
Seramai 11,000 pelajar China direkodkan mengikuti pengajian di Malaysia.
Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan Kabinet membincangkan cadangan untuk melarang pelancong dari China.
Dalam perkembangan sama, Dr Wan Azizah berkata, tiada kes baharu direkodkan setakat jam 8 pagi ini.
"Jumlah kumulatif kes Covid-19 yang dilaporkan sehingga hari ini kekal sebanyak 22 kes dengan hanya lima kes masih dirawat di wad, manakala 17 yang lain telah pulih dan dibenarkan keluar," katanya.
Daripada lima kes yang masih dirawat itu, tiga orang masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur, seorang di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah dan seorang lagi Hospital Sungai Buloh.