Saintis China beri amaran ancaman selesema baharu

Iklan
Covid-19 berbeza dengan SARS namun kedua-duanya mudah berjangkit dan membawa maut.

Presiden Akademi Sains Perubatan China memberi amaran dunia harus bersedia dengan kemungkinan bahawa koronavirus (Covid-19) akan berlanjutan untuk satu tempoh yang panjang, meskipun China mencatatkan penurunan kes baharu.

Wang Chen berkata, Covid-19 berbeza dengan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) namun kedua-duanya mudah berjangkit dan membawa maut.

Iklan
Iklan

"Virus baharu ini mungkin menjadi penyakit jangka masa panjang yang wujud bersama manusia, sama seperti selesema. Bagaimanapun, ia terpulang kepada saintis untuk bersedia mengkaji Covid-19 dan membantu merangka strategi klinikal.

"Kunci utama untuk membendung virus tersebut adalah melalui penyelidikan saintifik,” katanya kepada penyiar CCTV.

Iklan

Sementara itu, menurut pembantu profesor bahagian kesihatan dan ekonomi di Yale School of Public Health, Chen Xi, sekarang mungkin masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan bahawa jangkitan telah memuncak.

"Langkah menutup kejiranan baru dilaksanakan namun keberkesanannya tetap dapat dilihat.

Iklan

"Walaupun kes baharu dan disyaki di China turun, namun peningkatan kes baharu lain tetap bertambah. Dalam erti kata lain, permintaan untuk sumber perubatan kekal tinggi dan kita masih berada di peringkat kritikal dalam menentang penyakit ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, dua penumpang kapal persiaran Diamond Princess dilaporkan meninggal dunia akibat Covid-19.

Penyiar NHK melaporkan, kematian warga emas lelaki dan wanita berusia 80-an itu adalah yang pertama dalam kalangan 621 penumpang lain yang disahkan positif wabak tersebut.

"Kedua-dua mangsa dibawa turun dari kapal terbabit pada 11 dan 12 Februari sebelum dirawat di hospital,” katanya.

Korea Selatan juga melaporkan kematian pertama dan jumlah jangkitan di negara itu kini mencecah 104 kes, hampir separuh daripadanya dicatatkan di Daegu.

Setakat ini, wabak mencatatkan 2,129 kematian dan 75,767 yang disahkan di dalam dan luar China. - Agensi