PENGENDALI Manchester United,Ole Gunnar Solskjaer menyalahkan bola sebagai punca pasukannya hanya mampu seri dengan Club Brugge dalam perlawanan pertama pusingan 32 pasukan terbaik Liga Europa di Stadium Jan Breydel, awal pagi tadi.
Menurutnya, bola yang digunakan dalam perlawanan tersebut sangat ringan dan mengganggu rentak permainan pasukannya.
"Ia perlawanan yang sukar berdepan dengan pasukan yang tersusun dan dalam keadaan cuaca yang tidak baik. Saya tidak rasa ia perlawanan yang mahu ditonton semua orang.
"Bola juga terlalu ringan ditambah keadaan padang yang agak licin. Anda boleh cuba, ia sangat berbeza dan sukar untuk pemain bermain dengan bola tersebut," katanya.
Dalam perlawanan itu, Emmanuel Bonaventure membuka jaringan buat Brugge pada minit ke-15 sebelum disamakan penyerang United, Anthony Martial pada minit ke-36.
Beliau turut berasa lega kerana United tetap mendapat kelebihan satu gol di tempat lawan dan yakin mampu mengatasi kelab Belgium itu dalam aksi timbal balik di Old Trafford minggu depan.
"Kami mempunyai banyak lagi perlawanan. Kami dapat seri dan gol di tempat lawan pada perlawanan ini. Minggu depan kami akan menyudahkan perlawanan ini.
"Saya juga mengharapkan pihak Liga Europa menggunakan bola yang berbeza minggu depan dengan mengambil kira pandangan semua pasukan yang beraksi," katanya.
Dalam pada itu, Solskjaer turut memuji kelibat Martial yang berjaya menjaringkan gol penyamaan di sebalik aksi tidak menjadi United ketika berdepan Brugge itu.
"Ia gol yang cukup baik untuk Martial. Dia tidak beraksi baik sebelum dia menjaringkan gol tersebut dan kurang mendapat bola daripada pemain lain.
"Selepas menjaringkan gol dia lebih tajam dan agresif, namun gagal menjaringkan gol lebih banyak," katanya.