SHAH ALAM - Kerajaan Selangor tidak berkompromi sebarang isu berhubung penyalahgunaan Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (I-Seed) yang dikesan berlaku di negeri ini.
Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk merampas barangan tersebut dan menyenaraihitamkan penerima terlibat.
Menurut beliau, semua barangan I-Seed adalah hak milik kerajaan negeri dan tidak boleh disalahgunakan.
"Segala transaksi jual beli tidak dibenarkan dan berharap orang ramai dapat memahami perkara ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (I-Seed) di Wisma Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KOHIJRAH) di sini pada Selasa.
Menurut Papparaidu, siasatan menyeluruh akan dijalankan bersama Ketua Komuniti India (KKI) dan pegawai-pegawai terlibat dalam program I-Seed.
Katanya, siasatan dan pemeriksaan juga dijalankan selepas tiga bulan penyerahan bantuan terbabit.
"Pegawai terlibat akan melakukan pemeriksaan lanjut dengan bertemu dan menemu bual penerima bantuan untuk memastikan bantuan tersebut digunakan dengan betul," kata beliau.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, isu ketirisan dan kebocoran dalam proses itu dimaklumkan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Tindakan tegas ini diambil sebagai langkah memastikan bantuan kerajaan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan dan mengelakkan sebarang penyalahgunaan," ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, seramai 20 penerima I-Seed menerima bantuan terbabit membabitkan peruntukan sebanyak RM140,000.
Pelaksanaan I-Seed yang dikawal selia oleh Unit Pemerkasaan dan Pembangunan Usahawan India bertujuan meningkatkan taraf ekonomi kaum itu melalui pemberian bantuan peralatan bergantung kepada perniagaan diusahakan.
Inisiatif dimulakan sejak tahun 2021 itu memberi banyak manfaat kepada usahawan daripada kaum itu yang memerlukan bantuan.