SHAH ALAM - Kerajaan Selangor mengenal pasti seramai 69 sahaja bekas pekerja lima ladang di Bestari Jaya layak untuk menerima pemilikan rumah bagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan itu.
Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu berkata, semua pekerja yang layak itu telah disahkan oleh Berjaya Corporation berdasarkan rekod mereka sebagai bekas pekerja ladang.
Menurut beliau, penerima terbabit juga telah mengemukakan bukti pekerjaan seperti dokumen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), slip gaji dan bukti lain yang sah kepada Lembaga Perumahan Hartanah Negeri Selangor (LPHS).
"Sekiranya terdapat individu mendakwa adalah bekas pekerja ladang, mereka perlu membuktikan kelayakan dengan mengemukakan dokumen berkaitan kepada LPHS untuk penilaian.
"Sekiranya dokumen tersebut disahkan, LPHS akan menghantar laporan kepada saya untuk proses kelulusan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Majlis Penyerahan Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (I-Seed) di Wisma Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Papparaidu menafikan beliau terlibat dalam penilaian bagi permohonan dan kelulusan pemilikan rumah berkenaan.
Jelasnya, terdapat salah tanggapan dalam kalangan orang ramai yang mendakwa beliau adalah individu yang memilih penerima rumah terbabit.
"Orang ramai anggap saya yang menilai atau saya yang memilih, saya ingin jelaskan tidak ada kena mengena dengan itu.
"Laporan polis terhadap saya menyatakan saya telah memilih mereka itu tidak benar,” tegas beliau.
Menurut Papparaidu, terdapat beberapa siri perjumpaan bersama pekerja ladang bagi menangani isu itu.
Beliau memberitahu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan melawat projek itu pada bulan depan.
"Pembangunan projek ini memberi impak besar kepada komuniti setempat dengan menyediakan kemudahan perumahan yang lebih baik untuk bekas pekerja ladang, sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka," kata beliau.
Sinar Harian pada 6 Mei tahun lalu melaporkan, isu pemilikan rumah pekerja di lima ladang di Bestari Jaya di sini sejak 26 tahun lalu bakal berakhir apabila kerajaan Persekutuan mengumumkan pembinaan sebanyak 245 unit PPR di kawasan itu.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, isu pemilikan rumah antara yang sering dibangkitkan pekerja ladang sejak sekian lama meskipun kerajaan silih berganti.