PPSMI bukan martabatkan bahasa Inggeris

Iklan
Debat Sinar Harian Ala Parlimen bertajuk 'Kembalikan PPSMI Satu Kesilapan?' di Bangunan WUI, Kompleks Karangkraf. -Foto Sinar Harian MOHD IZARI ROSLI

SHAH ALAM - Matlamat asal Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bukan bertujuan memartabatkan atau memperkasa bahasa Inggeris.

Pendebat yang mewakili kerajaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Muhammad Wafi Anwar Roslan membidas wakil pembangkang yang dilihat memberi tanggapan salah berhubung PPSMI dengan mengaitkan matlamat dasar itu adalah untuk mengangkat bahasa Inggeris.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, keadaan itu menunjukkan wakil pembangkang bukan saja gagal memahami tujuan sebenar pelaksanaan PPSMI tetapi juga fokus perdebatan berkaitan isu tersebut.

"Ia juga bukan matlamat perdebatan pada hari ini (semalam) kerana fokus debat berkaitan PPSMI ini adalah untuk menentusahkan bahasa mana yang lebih mudah digunakan, lebih dekat kepada pelajar untuk mereka memahami dan belajar subjek Sains serta Matematik.

Iklan

"Jika wakil pembangkang mahu memperkasa bahasa Inggeris, tidak perlu guna dasar PPSMI sebaliknya lakukan pemerkasaan itu melalui pengajaran subjek bahasa Inggeris sedia ada," katanya pada Debat Sinar Harian Ala Parlimen bertajuk 'Kembalikan PPSMI Satu Kesilapan?' di Bangunan WUI, Kompleks Karangkraf, di sini semalam.

Debat Sinar itu turut menampilkan dua lagi penuntut UIAM yang mewakili kerajaan iaitu Muhammad Ilham Hafiz Azmi dan Anis Afina Hassan Sanusi, sementara wakil pembangkang dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA) terdiri daripada Muhammad Izzudin Kamarulzaman, Muhammad Amierul Fahmie Mohamad Latif dan Muhammad Zulzarif Mohd Zakuan sebagai ketua pembangkang.

Iklan

Muhammad Wafi Anwar turut menyelar wakil pembangkang yang menyatakan prestasi dalam Trends in International Mathematics and Science Study (TIMMS) dan Programme International Student Assessment (PISA) masih lagi di bawah prestasi minimum (OECD) walaupun tidak menjalankan PPSMI.

"Sebelum ini, kita masih lagi berada dalam prestasi minimum tetapi sekurang-kurangnya setelah PPSMI dimansuhkan, kita berjaya meningkatkan prestasi yang ada dalam negara.

"Mengikut statistik Press and International Mathematic and Science Studies 2015 Report, kedudukan pencapaian Sains bagi pelajar sekolah-sekolah di Malaysia turun ke tangga ke-21 pada tahun 2007 dan tangga ke-32 pada 2011, namun setelah PPSMI dimansuhkan, kita guna dasar memartabatkan bahasa Malaysia (MBM) dan dasar memantapkan penguasaan bahasa Inggeris (MBI) di semua peringkat persekolahan sehingga berjaya meningkat dan melonjakkan dari tangga 32 kepada tangga 24 pada tahun 2012," katanya.

Katanya, ia bermaksud, sistem pendidikan di bawah dasar MBM dan MBI tersebut berjaya meningkatkan kualiti pelajar dan usaha ini perlu diteruskan.

Selain itu menurutnya, pembangkang juga harus membuka mata melihat kejayaan Malaysia mewujudkan artikel-artikel yang lebih banyak dalam bahasa Melayu sebagai rujukan.

Dalam pada itu, Muhammad Wafi Anwar menegaskan, terdapat beberapa isu penting yang perlu diberi penekanan dan menjadi sebab mengapa pihaknya menolak cadangan mengembalikan PPSMI serta menganggapnya sebagai satu kesilapan.

Beliau berkata, PPSMI sebenarnya gagal dari segi semua sudut pandang seperti dasar, matlamat dan pelaksanaannya.

Katanya, faktor kedua ialah kesediaan negara untuk menjalankan PPSMI juga terlalu lemah, sekali gus ia tidak boleh dijalankan demi kemaslahatan pelajar-pelajar yang ada dalam negara.

"PPSMI ini juga hanya akan mengukuhkan stigma kolonial kerana selama ini kita terlampau bergantung kepada bahasa Inggeris dan kemudiannya mula mewujudkan stigma bahasa Melayu tidak boleh menjadi bahasa teknologi dan sains.

"Akhir sekali, PPSMI juga boleh merencatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu," katanya.