Rakaman audio: Najib, Rosmah sejam beri keterangan

Iklan

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor selesai memberi keterangan kira-kira sejam di Bukit Aman bagi siasatan rakaman audio Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Najib dan Rosmah diiringi peguam masing-masing, Mohamed Reza Rahim dan Rajivan Nanbiar dilihat keluar dari Bukit Aman pada jam 11.40 pagi.

Iklan
Iklan

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, kedua-dua individu berkenaan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung rakaman audio berkenaan.

"Jika ada keperluan dan berdasarkan rakaman percakapan yang diambil hari ini, polis tidak menolak akan memanggil balik kedua-dua individu terbabit.

Iklan

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 218 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi dan Seksyen 203A Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Mohamed Reza berkata, Najib dan Rosmah memberikan kerjasama sepenuhnya terhadap siasatan terbabit.

Iklan

Pasangan berkenaan hadir ke Bukit Aman kira-kira jam 10.30 pagi menerusi pintu B.

Terdahulu, Pada 8 Januari lalu, SPRM mendedahkan nama 20 individu termasuk Najib dan Rosmah yang dirakam perbualannya, sama ada terbabit dalam perbualan atau disebut mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC).

Senarai itu yang turut membabitkan beberapa tokoh kenamaan asing, diperoleh daripada sembilan set rakaman perbualan 45 minit diperdengarkan SPRM pada satu sidang media.