SELAYANG - Tindakan proaktif Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melakukan kerja-kerja pembersihan memberikan kelegaan kepada mangsa banjir lumpur di Batu Arang yang terjejas selepas dilanda bencana itu.
Bantuan pembersihan yang dilakukan amat membantu penghuni di 10 buah rumah di kawasan Perumahan OC9 di Batu Arang selepas kediaman penduduk terbabit dipenuhi dengan lumpur sedalam hampir empat meter.
![Kerja-kerja pembersihan berlangsung selama dua hari.](/theme_sinarharian/images/no-image.jpg)
![Kerja-kerja pembersihan berlangsung selama dua hari.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2025/01/29/2986810.jpg)
MPS dalam satu hantaran di laman Facebooknya memaklumkan, pihaknya menjalankan pelbagai usaha, termasuk membersihkan kawasan kediaman dan melupuskan barang yang rosak akibat banjir lumpur.
"Penduduk di Perumahan OC9, Batu Arang terkesan akibat banjir lumpur susulan hujan lebat berterusan sejak dua hari lalu.
"Banjir ini telah menjejaskan 10 buah rumah dengan kedalaman lumpur sehingga empat meter.
"Kesemua keluarga terlibat dipindahkan dengan selamat ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Batu Arang," menurut hantaran itu malam tadi.
Menurut MPS, sesi pembersihan itu berlangsung selama dua hari dan turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat dan Ahli Majlis Zon 18, Loo Voon May.
Turut terlibat, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan, Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan, Jabatan Landskap MPS.