Jalan berlubang masih hantui rakyat Sabah

Iklan
Keadaan jalan raya berlubang dan rosak yang menjadi kerisauan pengguna jalan raya  yang menggunakan laluan menghubungkan Kota Marudu ke Kota Kinabalu. Keadaan jalan raya berlubang dan rosak yang menjadi kerisauan pengguna jalan raya  yang menggunakan laluan menghubungkan Kota Marudu ke Kota Kinabalu.
Keadaan jalan raya berlubang dan rosak yang menjadi kerisauan pengguna jalan raya yang menggunakan laluan menghubungkan Kota Marudu ke Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Jalan berlubang ibarat berada di bulan yang masih menghantui penduduk di negeri ini dan kali ini melibatkan laluan lebih 100 kilometer dari Kota Marudu ke Kota Kinabalu.

Keadaan jalan yang didakwa uzur itu sudah berlarutan begitu lama dan bukan sahaja mengganggu pergerakan pengguna jalan raya tetapi juga membahayakan keselamatan terutama ketika Sabah berhadapan dengan cuaca hujan berterusan ketika ini.

Iklan
Iklan

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Zaidi Jatil berkata, jalan raya Kota Marudu adalah laluan utama bagi penduduk dan peniaga di daerah tersebut untuk berulang alik ke Kota Kinabalu.

"Tetapi ada banyak laluan yang berlubang dan teruk terutama di kawasan Manggaris 1. Pada waktu hujan pemandu tidak dapat melihat jalan yang rosak dan menyebabkan tayar termasuk ke dalam lubang dan pecah.

Iklan

"Begitu juga laluan dari Kota Belud ke Tuaran, Kudat dan Pitas semuanya mengalami masalah jalan raya berlubang dan rosak teruk," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Zaidi yang juga Timbalan Ketua Angkatan Muda Harapan Sabah berkata, keadaan jalan raya yang tidak diselenggara dengan baik itu akan merisikokan pengguna jalan raya dan boleh membawa kemalangan maut.

Iklan

"Mahu berapa ramai yang mati baru JKR Sabah bertindak? Hari-hari ada sahaja tayar kereta pecah ataupun rim rosak terlanggar lubang," katanya.

Malah Zaidi berkata, kerosakan jalan raya itu bukan sahaja menjejaskan kelancaran perjalanan harian pengguna tetapi juga memberi imej yang buruk kepada pembangunan infrastruktur di Sabah.

"Tambahan pula, keadaan jalan yang tidak memuaskan turut memberi impak negatif kepada sektor ekonomi, terutama bagi peniaga kecil yang sering menggunakan laluan ini untuk menghantar barang dagangan mereka," katanya.

Sehubungan itu, Zaidi sebagai wakil Ketua AMK Cabang Kota Marudu menggesa JKR Sabah segera mengambil tindakan membaiki kerosakan jalan raya di sepanjang laluan dari Kota Marudu hingga ke Kota Kinabalu.

"JKR harus melakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap jalan raya di kawasan terbabit dan memulakan kerja pembaikan segera. Selain itu, JKR diharap dapat menyediakan pelan penyelenggaraan berkala bagi mengelakkan kerosakan jalan yang berulang.

"Kami berharap kerajaan negeri akan mengambil tindakan segera untuk menangani isu ini. Keselamatan pengguna jalan raya dan keperluan ekonomi penduduk harus menjadi keutamaan," tegasnya.